Azmin: AMK, Wanita penuhi aspirasi rakyat tawan Putrajaya

PETALING JAYA 27 NOV: Pimpinan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mempunyai tanggungjawab besar untuk menggalas harapan dan memenuhi aspirasi rakyat bagi menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.


Dalam ucapan perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita KEADILAN ke-11 pagi ini, Mohamed Azmin berkata, kedua-dua sayap itu perlu mengatur strategi ampuh untuk menawan Putrajaya kelak.


“Langkah mendesak ialah untuk melaksanakan program perkaderan di kalangan anak muda supaya mereka menghayati idealisma perjuangan parti serta menjadi penggerak di akar umbi.

“Tatkala pentadbiran Putrajaya sedang bergelut dengan krisis kepimpinan; kegawatan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan kecelaruan dasar yang menghakis keyakinan pelabur dan masyarakat perniagaan.

“Wanita dan AMK perlu bersedia untuk menonjolkan kepimpinan dan menggarap seluruh kekuatan, memupuk perpaduan di kalangan rakyat merentasi politik partisan untuk membawa negara keluar dari kegelapan kepada pencerahan,” katanya di Dewan Sivik MBPJ.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, KEADILAN mempunyai aset Wanita yang dipimpin oleh Ketuanya, Zuraida Kamaruddin dan Haniza Talha yang membawa pencerahan dalam masyarakat supaya kepentingan dan hak wanita turut dibicarakan oleh golongan lelaki senada dengan “He for She Campaign” anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Inilah sumbangan KEADILAN kepada Malaysia. KEADILAN menyediakan kepimpinan yang wibawa untuk masa depan negara.

“Kecekalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memimpin KEADILAN daripada sebuah parti yang kecil sehingga muncul sebagai parti dominan dalam politik negara harus menjadi iktibar kepada Wanita,” katanya.


Beliau menambah, setiap parti tentu mempunyai pelbagai cabaran namun semangat dalam perjuangan merupakan faktor penting bagi mengatasi segala masalah.

Jelasnya, dengan muafakat utuh tanpa dibelenggu prejudis serta prasangka menebal, kemenangan pasti mampu dicapai.

“Tetapi harus diingat perjuangan adalah marathon. Kita harus punya tenaga, kegigihan, kesabaran, disiplin bagi menelurusi liku-liku, ombak dan onak duri serta gelombang tsunami perjuangan.

“Saya yakin KEADILAN sekali lagi akan muncul sebagai parti terkuat untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia dan mencetuskan gelombang kemenangan dalam PRU-14,” kata Mohamed Azmin. - Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget