Dakwaan Islamkan kanak-kanak tadika Baram tidak benar


Baram: Komuniti di pedalaman Baram diingatkan agar tidak mudah terperdaya khabar angin menyatakan penubuhan tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan mereka ‘ada udang di sebalik batu’ seperti menukar agama kanak-kanak di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, beliau kesal dengan khabar angin dianggapnya berbahaya itu.

“Saya tidak tahu bagaimana dan siapa menyebarkan perkara tidak berasas menuduh KEMAS menyebar agama Islam dalam kalangan komuniti pedalaman melalui tadika.

“Terdapat kumpulan dan individu tidak bertanggungjawab membuat tuduhan bahawa murid mengikuti kelas tadika di situ diajar mengucap dan cara bersolat.

“Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran kerana setakat ini tiada menerima aduan atau laporan,” katanya.

Dennis berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyampaian Sijil Kelas Pendidikan Literasi Fungsian Versi 2.0 di Long Laput, Baram kelmarin.

Seramai 18 dan empat suri rumah dari Long Laput dan Long jekitan menerima sijil kelas pendidikan tersebut

Dennis menambah, sebelum ini pengarah KEMAS negeri turut mencadangkan agar kelas di sini turut mengundang pastor dan katekis melakukan sembahyang bersama murid-murid.

“Sehubungan itu saya berharap ibu bapa tidak takut menghantar anak-anak mereka ke tadika KEMAS sebagai persediaan untuk anak melangkah alam persekolahan sebenar.

“Dalam hal ini, ibu bapa harus mengutamakan pendidikan anak-anak sebaliknya menegetepikan khabar angin yang tidak berasas,” katanya.

Hadir sama penyelia KEMAS Parlimen Baram Julitta Laja dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Robert Luhat.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget