Wanita KEADILAN seru pengundi wanita tolak Umno BN


PETALING JAYA 27 NOV: Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) ternyata gagal melaksanakan polisi mesra wanita termasuk menonjolkan peranan menteri wanita walaupun lebih 50 tahun memerintah.

Lebih malang kata Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, peruntukan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKW) dalam Bajet 2016 dipinggirkan dengan kemerosotan keseluruhan sebanyak -11.58%.

“Tahun demi tahun kerajaan Umno BN terus tidak berdaya memartabatkan kehidupan wanita Malaysia.

“Begitu juga KPWKM tidak berdaya mempertahankan pendirian dan polisi yang diangkat,” kata Zuraida.

Oleh itu katanya, ini masa terbaik untuk menyeru pengundi wanita negara ini agar menolak kerajaan Umno BN lebih-lebih lagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpalit dengan pelbagai skandal besar termasuk derma RM2.6 bilion.

“Inilah cabaran unggul bagi Wanita KEADILAN untuk berusaha menyalurkan fakta dan menyebarkan maklumat kebenaran yang sekiranya dibiarkan ia akan menyulitkan masa depan anak dan cucu cicit kita,” kata Zuraida dalam ucapan bahas di Kongres Nasional AMK dan Wanita ke-11, hari ini.

Tambahnya, Wanita turut akan merancang kaedah yang akan digunakan untuk menandingi medium propaganda Umno BN melalui televisyen dan akhbar perdana.

“Pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan perlu dirangka, diterap dan dipantau di semua peringkat.
“Perlaksanaannya ini memerlukan pengukuhan struktur asas di setiap cabang, anggota berpengetahuan, latihan berterusan dan amalan budaya kerja yang fokus,” kata Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang.- Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget