KUALA LUMPUR, 25 November- Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mempersoal keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Seri Mohd Salleh Ismail atas dua tuduhan pecah amanah.
Beliau mendakwa, Hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang tidak memberi sebab terhadap pembebasan suami kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil itu.
“Dan kenapa Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali bersetuju terhadap pembebasan ini?
“Apakah mereka ini memanipulasi undang-undang untuk kepentingan kroni Umno? Bagaimana dengan kepentingan rakyat yang perlu dilindungi?,” soalnya dalam kenyataan media hari ini.
Justeru itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menggesa Peguam Negara, memfailkan kes itu ke Mahkamah Rayuan
“Pembebasan oleh Mahkamah Sesyen KL terhadap dua kes pecah amanah mesti dicabar oleh Peguam Negara di Mahkamah Rayuan.
“Jumlah keseluruhan hampir RM50 juta dan jika tidak ada kesungguhan untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka yang bersalah, maka kita juga mungkin memberitahu orang ramai bahawa adalah ok untuk menggelapkan dana selagi mereka adalah pasangan kepada seorang menteri Umno,” sindirnya.
Beliau turut berkata akan membawa kes ini dalam sesi parlimen akan datang supaya kuasa eksekutif tidak campurtangan dalam keputusan mahkamah bagi mendapatkan keadilan kepada rakyat.
“Pecah Amanah bukan perkara kecil dan ia perlu ditangani dengan sewajarnya,” tegasnya. - Keadilan Daily.
Post a Comment