Langkah bahasa Inggeris Sarawak, antara sejarah dan sentimen politik

Pemimpin Sarawak memutuskan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2 yang dianggap salah satu daripada hak autonomi istimewa yang diberikan ketika pembentukan Malaysia. 
Keputusan Sarawak baru-baru ini untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2 negeri itu mengundang kritikan daripada nasionalis bahasa Melayu di Semenanjung, tetapi negeri di bawah bayu itu berkata, mereka cuma menuntut salah satu daripada hak autonomi istimewa yang diberikan ketika pembentukan Malaysia.
Pengasas negeri itu mempunyai senarai permintaan sebelum mereka bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963, dan mereka mahu ia direkodkan dalam bentuk tulisan.

Klausa istimewa itu ditulis ke dalam Perjanjian 18 perkara Sarawak dan turut dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia untuk melindungi kepentingan negeri itu berhubung beberapa perkara di antaranya ialah bahasa, tanah, perkhidmatan awam, kerajaan tempatan dan imigresen.

Sejarah menunjukkan salah seorang bapa pengasas Sarawak, Datuk Amar James Wong, yang menulis buku mengenai laluan Sarawak dalam membentuk Malaysia, “The Birth of Malaysia”, menyatakan “ada perjanjian antara banyak kumpulan (kaum) bahasa Inggeris perlu dikekalkan sama ada selamanya atau sekurang-kurangnya 15 tahun lagi sebagai bahasa rasmi, bukan saja di Sarawak, tetapi persekutuan baharu juga”.

Bahasa ialah perkara kedua dalam perjanjian 18-perkara, khusus kepada status bahasa Inggeris, di mana bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa persekutuan, dan “Bahasa Inggeris perlu terus digunakan bagi tempoh 10 tahun selepas Hari Malaysia”.

Kisah silam kepada klausa itu ialah mesyuarat 51 ketua kaum Iban yang dilantik, di Kapit pada 15 Februari, 1962 untuk membincangkan cadangan kepada Persekutuan Malaysia sebagai sebahagian Suruhanjaya Cobbold, iaitu suruhanjaya inkuiri bagi menentukan pendapat umum di Sabah (pada masa itu dipanggil Utara Borneo) dan Sarawak mengenai cadangan penyatuan dengan Tanah Melayu, Brunei dan Singapura untuk membentuk negara baharu.

Suruhanjaya itu merekodkan salah satu resolusi oleh kumpulan masyarakat asli terbesar negeri itu ialah “Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa rasmi negeri dan terus menjadi salah satu bahasa rasmi Malaysia”.

Selepas 10 tahun menjadi persekutuan Malaysia, Sarawak tidak menggugurkan atau membuat perubahan kepada status bahasa Inggeris itu.

Negeri itu juga tidak mengguna pakai Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Perkara itu ditegaskan Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg baru-baru ini ketika mempertahankan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang dihentam kumpulan Melayu kerana pendiriannya terhadap bahasa Inggeris.

Sarawak tetap secara tidak rasmi mengguna pakai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Hari ini, wakil rakyat negeri terus berdebat dan berhujah di kalangan mereka dengan sebahagian besarnya menggunakan bahasa Inggeris dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan peguam serta hakim terus mengendalikan urusan masing-masing dalam bahasa Inggeris di mahkamah.

Tidak seperti di Semenanjung, menteri Sarawak kerap menyampaikan ucapan dalam bahasa Inggeris dalam majlis awam, terutama di kawasan bandar di mana bahasa itu digunakan secara meluas.

Sentimen politik

Kumpulan berhaluan kanan Melayu, Perkasa dilaporkan menggelar keputusan Adenan sebagai “penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan”, sementara penasihat Putrajaya mengenai hal ehwal sosial dan budaya, bekas menteri Tan Sri Rais Yatim berkata ia akan menyemai perpecahan antara kumpulan etnik.

Rakyat Sarawak mengkritik Rais kerana kenyataannya itu, dalam nada menunjukkan kebencian terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) selama bertahun-tahun berkaitan tahap kemiskinan, kekurangan pembangunan dan dominasi polisi berpusatkan Semenanjung.

Langkah untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negeri itu menyatukan musuh politik, dengan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian, melahirkan sokongan kepada keputusan Adenan.

Menyelar Rais, Baru berkata, ikatan antara Sarawak dan Semenanjung tegang kerana kegagalan Putrajaya memenuhi keperluan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang itu berkata, Rais hanya perlu melihat kepada Laporan Ketua Audit Negara terkini untuk melihat betapa teruk keadaan sekolah di Sarawak.

“Kita kekurangan perkhidmatan perubatan dan kesihatan dan kemudahan asas lain. Ini menyebabkan perpecahan,” kata Baru.

Behubung dakwaan mengatakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negeri adalah penghinaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Kuching Chong Chien Jen berkata Artikel 161(1) dan (2) menyatakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sarawak, dan “tidak sepatutnya ada sekatan penggunaan bahasa Inggeris bagi semua urusan rasmi di Sarawak”.

Hak menggunakan bahasa Inggeris di Parlimen oleh wakil rakyat dari Sarawak atau Sabah; dalam mahkamah di kedua-dua negeri, dan dalam DUN di kedua-dua negeri dinyatakan dengan jelas, kata Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak.

Melainkan ada undang-undang khas mengeluarkan status bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Sarawak, ia akan terus kekal begitu, katanya.

“Dan setakat ini, tidak ada undang-undang seumpama itu,” katanya.

Chong mencetuskan kekecohan di Parlimen baru-baru ini apabila membahaskan mengenai bahasa Inggeris dalam Bajet 2016, menekankan hak ahli Parlimen Sarawak dan Sabah menggunakan bahasa itu di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen BN dari Semenanjung, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan Chong tidak mengikut Perlembagaan sementara menteri yang bertanggungjawab dalam hal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan penggunaan bahasa selain bahasa Malaysia dalam Dewan Rakyat boleh dibuat hanya dengan kebenaran speaker.

Walaupun perdebatan mengenai penggunaan bahasa di Malaysia sering berunsur politik, saintis sosial Universiti Malaysia Sarawak, Dr Andrew Aeria berkata penggunaan bahasa Inggeris patut digalakkan.

“Kita sudah ketinggalan dari seluruh dunia kerana tidak lagi menguasai bahasa Inggeris. Hampir semua orang di Malaysia fasih dalam bahasa Melayu, terutama generasi muda tetapi tidak fasih dengan bahasa Inggeris.

“Dan bahasa Inggeris bahasa syarat diperlukan dalam perdagangan global. Kita bukan hanya berdagang dengan Indonesia dan Brunei.

“Kita berdagang dengan seluruh dunia.

“Memandangkan bahasa Melayu digunakan dengan fasih sebagai bahasa perbualan di Malaysia, kumpulan Melayu tidak ada alasan untuk melatah,” katanya.

- Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget