Fatimah akan berjumpa Ani untuk serah bantuan peribadi


KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah akan berjumpa dengan ibu tunggal, Ani Nios dalam masa terdekat untuk menyampaikan bantuan peribadi.

Memahami situasi ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU) itu kata Fatimah, dari segi bantuan kos makan minum serta penginapan kebiasaannya ditanggung sendiri dan di luar daripada bantuan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau akan tampil menyampaikan bantuan peribadi dan pada masa yang sama merayu kepada orang ramai turut bersama membantu mereka yang memerlukan itu.

“Dari segi kos tambang, pembedahan anaknya, semua telah ditanggung kerajaan begitu juga dari segi elaun bulanan OKU untuk dirinya sendiri, anaknya dua orang OKU termasuk Maxwell. Ani dan anak-anaknya memang menerima bantuan kerajaan yang sepatutnya.

“Namun dari segi makan minum sepanjang berada di sana (Institut Jantung Negara-IJN) saya tahu ia memerlukan kos dan saya sendiri akan memberi bantuan peribadi serta berjumpa Ani dalam masa terdekat ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kisah Ani yang disiarkan semalam, apabila dia sekali lagi tampil memohon bantuan daripada orang ramai melalui media.

Ani yang sebelum ini kisahnya disiarkan dalam akhbar ini memohon bantuan kos sara diri dan penginapannya di Kuala Lumpur namun sehingga kini masih belum mendapat respons daripada mana-mana pihak, yang memaksanya tampil untuk kali kedua.

Fatimah menambah, bagaimanapun beliau berharap orang ramai bersama tampil membantu ibu berkenaan, yang juga hanya bekerja sebagai penjaga lif bangunan kerajaan di sini.

Katanya beliau yang tidak mengetahui sama ada Ani pernah memohon bantuan kepada wakil rakyat di kawasannya atau tidak, berharap pihak berkaitan tampil membantu.

“Kebiasaannya jika kawasannya itu adalah di bawah wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sememangnya ada peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) iaitu bantuan kecemasan bagi membantu kes seperti ini,” katanya.

Tambah Fatimah, anak Ani iaitu Maxwell menerima elaun OKU sebanyak RM150 sebulan sementara seorang lagi anaknya juga menerima bantuan OKU dengan elaun bulanan RM200.

Beliau menjelaskan, kebiasaannya apabila ada kes pesakit yang kurang berkemampuan dihantar ke hospital yang jauh mereka diberi pilihan iaitu dengan hanya seorang pengiring sama ada ibu atau bapa.

Namun beliau berkata dalam kes Ani, memandangkan dia hanya bergantung kepada topang yang mungkin kesukaran baginya, maka wajar dia membawa anak sulungnya bersama.

“Sehubungan itu kos makan minum mereka mungkin agak tinggi sepanjang berada di sana, di mana dia dan anaknya terpaksa tinggal selama dua bulan.

“Jika dikira RM10 untuk seorang sehari dalam masa sebulan jumlah itu amat tinggi bagi mereka yang kurang berkemampuan maka itu saya sekali lagi merayu kepada orang awam tampil membantunya,” tegasnya lagi.

Sementara itu kelmarin, Ani, 52, yang datang ke pejabat Utusan Borneo dan Borneo Post di sini, menceritakan bahawa dia masih tidak berputus asa memohon bantuan, yang amat diperlukan sepanjang berada di Institut Jantung Negara (IJN) pada bulan depan.

Ibu kepada tiga orang anak itu akan bertolak ke Kuala Lumpur pada 3 November depan untuk menemani anak bongsunya, Maxwell Aiman, 7, yang menjalani pembedahan jantung di IJN yang dijadualkan pada 5 November.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget