Adenan pastikan matlamat bawa perubahan tercapai

Sarawak tidak boleh lagi ketinggalan terutama infrastruktur jalan raya, air, elektrik, hospital, sekolah dan sebagainya


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan memastikan matlamat beliau untuk membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat dan negeri ini tercapai sebelum bersara dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Dalam temu ramah bersama TV Bloomberg Malaysia, Adenan berkata selepas 50 tahun,  Sarawak  tidak boleh lagi ketinggalan daripada segala aspek terutama dari segi infrastruktur seperti jalan raya, air, elektrik, hospital, sekolah dan sebagainya.

Melihat kepada saiz Sarawak yang besar, Adenan mengakui ia akan mengambil masa yang panjang tetapi beliau akan memastikan Sarawak setanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia di bawah pimpinan beliau.

“Bagi mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030, perindustrian merupakan aspek penting dalam perancangan Sarawak.

“Kita tidak lagi boleh kekal sebagai pengeluar bahan mentah getah, lada dan sebagainya seperti pada masa lalu.

“Tetapi kita mahu memproses sendiri produk-produk kini supaya kita dapat mengekalkan nilai tambah bagi pengeluaran bahan mentah kita sendiri,” katanya.

Dalam pada itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), industri perladangan di negeri ini meliputi kelapa sawit hingga lada dijangka tumbuh dari  4.7 peratus setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun akan datang.

Manakala projek berbillion ringgit Lebuh Raya Pan Borneo  yang dijangka siap pada 2023 dijangka membuka negeri ini di mana fasa kedua pembinaan telah dilancarkan pada September lepas.

Satu lagi langkah besar yang diambil oleh kerajaan negeri ialah projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang merupakan pemacu utama bagi pelaburan asing ke negeri ini dengan nilai RM8.7 bilion pada 2014.

Namun di sebalik kejayaan signifikan yang dicapai ini, Sarawak tidak terlepas daripada berhadapan dengan kontroversi seperti projek kuasa hidro yang telah melambatkan pelaksanaan SCORE selain kontroversi yang disumbang oleh industri pembalakan.

Namun Ketua Menteri telah mengambil pendekatan tertentu untuk menangani kontroversi ini agar tidak menjejaskan perancangan negeri ini.

“Saya telah memutuskan tidak ada lagi lesen pembalakan dikeluarkan termasuk aktiviti perladangan baharu buat masa ini begitu juga dengan kelapa sawit.

“Kelapa sawit memang bagus tetapi mengapa kita tidak menanam komoditi lain bagi tujuan pengeluaran makanan?

“Pengeluaran makanan agak perlahan di Sarawak. Kita ada tanah dan kita mempelawa pelabur asing untuk melabur bukan sahaja dalam kelapa sawit tetapi juga pengeluaran makanan yang lain,” ujar Adenan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget