Kertas siasatan dakwaan rasuah Daud kini di ibu pejabat SPRM


KUCHING: Kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman sudah diserahkan kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kuala Lumpur.

Pengarah SPRM Sarawak Datuk Badrul Shah Norman berkata penyerahan kertas siasatan tersebut dilakukan pada bulan lepas.

“Kami sudah serahkan kertas siasatan dan ia berada di peringkat ibu pejabat sekarang,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau ditemui selepas merasmikan Forum Pencegahan Rasuah Secara Bersepadu Dalam Sektor Politik Negeri Sarawak di sini, semalam.

Pada Mei lepas, SPRM mendedahkan bahawa beberapa akaun bank bernilai RM4 juta milik seorang menteri muda telah dibekukan bagi memudahkan siasatan SPRM.

Menteri muda itu antara beberapa individu dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan tersebut.

Sebulan kemudian, Daud yang juga ADUN Tupong mengaku telah disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Saya mengaku saya adalah menteri muda yang dimaksudkan. Saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM ketika diminta tampil memberi keterangan pada 13 Mei lepas.

“Cuma apa yang mengecewakan saya ialah perkara ini telah disebarkan secara meluas sebelum siasatan selesai dan keputusan dibuat oleh SPRM.

“Memandangkan umum telah mengetahui akan hal ini, jadi tidak perlu lagi untuk saya berselindung. Kita tunggu sahaja keputusan siasatan daripada SPRM sama ada bersalah atau tidak,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget