Cukai terlalu lama wajar dilupus sahaja


KUCHING: Akta Had Masa 1953 termasuk Ordinan Had Masa Sarawak dan Sabah perlu dipinda bagi menghalang agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menuntut bayaran tunggakan cukai yang sudah terlalu lama.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen berkata perkara itu akan dibangkitkan dalam persidangan Parlimen nanti kerana berpendapat pengampunan perlu diberi untuk tunggakan cukai lebih daripada enam tahun seperti tertakluk dalam Akta Had Masa 1953.

Pindaan Akta berkenaan juga katanya, akan menghentikan tindakan LHDN yang dianggap ‘serangan cukai’ apabila menuntut bayaran tunggakan cukai yang sudah melebihi enam tahun.

Menurutnya baru-baru ini balu Pui Kim Hong menerima surat daripada LDHN mengarahkan mendiang suaminya membayar tunggakan cukai berjumlah RM5,613.20 yang merupakan taksiran bagi 1989 hingga 1993, antara 22 hingga 26 tahun lalu.

Surat bertarikh 29 Mac 2015 itu mengarahkan mendiang menguruskan pembayaran tunggakan cukai berkenaan dan bersedia menerima cadangan bayaran munasabah bagi meringankan beban kewangannya.

Surat itu turut menyatakan jika LHDN tidak menerima sebarang maklum balas atau bayaran pada 9 April 2015, tindakan mahkamah boleh diambil ke atas mendiang yang meninggal dunia pada 6 Ogos 1997.

Selain itu mendiang disekat daripada melakukan perjalanan ke luar negara di bawah Seksyen 104 Akta cukai Pendapatan 1967.

Menurut Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, ketika isteri mendiang bertemu dengan pegawai LHDN Sarawak bertanya mengenai perkara itu, beliau diarah menjelaskan tunggakan itu bagi pihak suaminya.

Beliau percaya balu mendiang tidak seharusnya dibebani dengan tunggakan cukai itu kerana tidak mewarisi apa-apa daripada suaminya yang meninggal 18 tahun lalu.

“Memang sudah menjadi tanggungjawab untuk rakyat menjelaskan cukai pendapatan tetapi ada had (masa) untuk LHDN memungutnya.

“Dalam kes ini, kamu tidak boleh menjangka pembayar cukai menyimpan rekod pembayaran melebih 10 hingga 20 tahun. Malah bank ada had masa iaitu enam tahun.

“Tambahan Puan Ho tidak mewarisi harta daripada mendiang suaminya.

“Di bawah Akta Had Masa, jika pemiutang atau mana-mana pihak tidak meminta bayaran dalam tempoh masa ditetapkan, pihak itu akan hilang haknya.

“Apa yang dilakukan LHDN tidak berperikemanusian dan tidak beretika,” dakwanya pada sidang media di sini kelmarin.

Menurut ADUN Kota Sentosa itu, satu surat koresponden telah dihantar kepada LHDN disertai salinan sijil kematian Pui.

Justeru beliau berharap LDHN akan lebih menghormati undang-undang serta prinsip asas keadilan dan kesaksamaan dalam memungut hutang.

Undang-undang Had Masa di Malaysia terkandung dalam Akta Had Masa 1953 (Akta 245) yang menyatakan had masa untuk mengambil tindakan serta timbang tara yang hanya boleh digunakan di Semenanjung Malaysia.

Bagi kes Sabah dan Sarawak ia mempunyai Ordinan Had Masa masing-masing berkongsi format sama kecuali beberapa perbezaan.

Akta itu umumnya membolehkan tempoh enam tahun dan 12 tahun bagi kes berkaitan tanah untuk tindakan diambil.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget