PAS menyifatkan sistem politik dua blok yang ada pada masa ini tidak menyokong sebuah pentadbiran telus dan kerajaan yang mengutamakan negara dan rakyat.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, ia dapat dilihat apabila blok politik Barisan Nasional (BN) yang menerajui Kerajaan Persekutuan telah menggunakan majoriti kerusi yang diperolehi di Parlimen untuk meluluskan apa sahaja perundangan dan peruntukan walaupun ditentang oleh rakyat.
Menurutnya, blok politik DAP yang mengetuai kerajaan Pulau Pinang juga berbuat seperti itu apabila menggunakan majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meluluskan apa sahaja perundangan dan peraturan yang mereka mahu walaupun dibantah segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka sendiri dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Dengan perkataan lain, sistem dua blok politik akan menyebabkan mana-mana parti yang ada lebih 50% kerusi boleh bertindak sesuka hati meluluskan perundangan dan peraturan yang merugikan.
“Sebaliknya, dengan adanya blok politik ketiga, kemungkinan sesebuah blok politik memperolehi lebih 50% kerusi di Parlimen atau DUN selepas PRU (Pilihan Raya Umum) menjadi lebih tipis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Zuhdi, apabila sesebuah blok politik tidak memperolehi lebih jumlah kerusi itu, mereka memerlukan sokongan blok politik lain bagi membentuk kerajaan dan ia menyebabkan dua blok politik itu tidak boleh meluluskan sesuatu perundangan dan peraturan sesuka hati.
“Situasi pelbagai parti atau blok politik seperti ini semakin popular di negara-negara membangun dan terbukti mampu menjadikan sesebuah kerajaan lebih telus dan bersih.
“Sebagai contoh di Indonesia, dengan wujudnya pelbagai parti dan blok politik yang membentuk kerajaan, maka pentadbirannya lebih mengutamakan rakyat. Prestasi negara Indonesia dalam memerangi rasuah dan salahguna kuasa semakin baik meskipun masih berada di belakang Malaysia,” katanya.
Zuhdi turut yakin kewujudan blok politik ketiga yang diusahakan oleh PAS bersama parti-parti politik lain, NGO-NGO dan tokoh-tokoh perseorangan akan mengembirakan rakyat kerana mempunyai banyak pilihan untuk mencorakkan kerajaan yang lebih memihak kepada mereka.
“Sebaliknya, kewujudan blok politik ketiga tidak mengembirakan blok-blok politik yang sedia ada kerana peluang mereka untuk memperolehi lebih 50% kerusi di Parlimen dan DUN, sekaligus peluang untuk membentuk kerajaan dengan blok sendiri semakin sukar dicapai,” ujarnya.- FMT
Post a Comment