DAP sambut ulang tahun ke-50 Jumaat ini dengan dialog awam, diskusi idea


Sempena menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya, DAP akan menganjurkan beberapa acara termasuk forum awam bertujuan untuk berkongsi pendapat dan meraikan idea dalam usaha membawa Malaysia ke arah masa depan lebih baik.

Pada Jumaat malam ini, forum awam bertajuk “Pendemokrasian ekonomi: Respons dari Muslim Demokrat dan Sosial Demokrat” akan menampilkan dialog di antara ahli ekonomi politik Jerman, Thomas Mayer, dan ahli akademik merangkap Ahli Parlimen Mesir dalam buangan, Dr. Abdul Mawgoud Dardery.

Forum itu akan diadakan di Plaza 1, Parkroyal Hotel, Kuala Lumpur apda 18 Mac jam 8 malam. Walaupun masuk percuma, mereka yang berminat hadir perlu mendaftar dahulu (klik sini untuk mendaftar)

Pengerusi Jawatankuasa Kerja DAP@50 Kebangsaan, Liew Chin Tong, berkata program itu amat penting memandangkan negara memerlukan wacana lebih rasional bagi menangani “serangan” agenda ekstremis pada era ketidakstabilan ekonomi dan politik hari ini.

“DAP mempunyai visi untuk berada di barisan hadapan dalam mencambah budaya diskusi dan dialog di kalangan masyarakat, terutama berkenaan idea yang membincangkan ekonomi dan isu semasa.

“Malah, ia merupakan aspirasi DAP untuk menjadi sebuah parti dengan idea dan cita-cita pada waktu krisis sebegini,” katanya pada sidang media Sambutan DAP@50 di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja DAP@50 Wilayah Persekutuan, Wan Hamidi Hamid, pula berpendapat, sambutan ulang tahun itu penting bukan saja untuk mengimbas sejarah penubuhan parti tetapi juga meningkatkan usaha DAP sebagai parti rakyat Malaysia untuk 50 tahun akan datang.

“Selain mengingati sejarah sepanjang 50 tahun lalu, DAP perlu bersiap sedia menghadapi tempoh 50 tahun yang akan datang.

“Namun, kami tidak akan membuat sambutan besar-besaran pada tarikh penubuhan parti 18 Mac atau sepanjang bulan ini kerana menumpu seluruh tenaga dan usaha bagi menghadapi pilihanraya negeri Sarawak yang bakal tiba. Mungkin selepas PRN Sarawak, lebih banyak acara akan diadakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja DAP@50 Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, menyeru anak muda, terutama yang berminat dengan diskusi untuk hadir ke forum itu dan bersama-sama meraikan kepelbagaian idea.

“DAP bukan hanya sebuah parti yang terlibat dalam kerja lapangan, tetapi turut memandang idea sebagai aspek penting dalam membangunkan Malaysia dari sudut politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Selain forum awam, DAP turut menyambut ulangtahun penubuhannya bersama pemimpin akar umbi dari seluruh negara di ibu pejabat DAP Pulau Pinang di Rangoon Road pada sabtu 19 Mac ini pada jam 11 pagi.

Parti itu berharap rakyat prihatin dapat hadir dan bersama-sama memeriahkan pelbagai program yang dianjurkan tersebut. – Roketkini.com
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget