Portal UMNO: Akhirnya Mahathir boleh mati dengan aman


Portal pro-Umno Mykmu.net hari ini menulis bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini boleh mati dengan aman setelah berjaya memeterai persefahaman dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengakhiri perseteruan politik antara penyokong mereka.

“Kita juga bersyukur, di akhir usia 90-an, Mahathir akhirnya sudah boleh pergi dengan aman suatu ketika nanti tanpa meninggalkan lagi legasi politik kebencian melampau antara kedua-dua Kabilah ini.”

Menurut portal itu, selepas konflik dan politik kebencian selama 18 tahun, akhirnya, orang Melayu yang saling membenci kerana Mahathir menyingkirkan Anwar boleh ‘disatukan’ semula.

“Hari ini, Mahathir dan proksi Anwar Ibrahim, Azmin Ali, bersama-sama menandatangani persefahaman untuk menjatuhkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak,” katanya.

Ia berkata tidak pernah sesiapa sangka Mahathir akhirnya terpaksa melutut kepada seteru politik nombor satunya untuk mencapai satu cita-cita politik terakhirnya.

“Ini satu sejarah besar bahawa di sebalik pelbagai serangan dan hentaman Mahathir ke atas Anwar, Anwar tetap berdiri gagah dalam politik negara.

“Dan biar pun berada di sebalik tirai besi, akhirnya Anwar masih mampu menundukkan Mahathir,” katanya.

Menurut Mykmu.net, suatu ketika dahulu, gerakan menukar kepimpinan Umno tidak membabitkan pakatan dengan pembangkang kerana ia dibantah oleh penyokong Mahathir.

Katanya, sungguhpun Mahathir keluar parti dan ada pemimpin pembangkang menghadiri program yang dianjurkan, tidak pernah wujud pakatan dengan pihak lawan.

“Hari ini generasi baharu penyokong Mahathir sudah tidak peduli semua itu. Roh dan jiwa parti sudah dijual demi kuasa dan ego!” keluh penulis artikel yang menggunakan nama samaran 'Kuntakinte Malaysia'.

Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa ini mungkin satu perkembangan positif bagi bangsa Melayu dan agama Islam kerana pada akhirnya, mereka yang pernah membenci antara satu sama lain kini bersatu di bawah bumbung yang sama lagi sekali lagi.

Manakala Najib mungkin dilihat sebagai faktor negatif dalam perpaduan ini, namun menurut portal itu, beliau masih adalah alat penyatuan Melayu.

“Justeru Najib bukan sahaja agen perdamaian Bangsa Moro dan Wilayah Pattani tetapi juga berjaya menyatukan dua kabilah Melayu, Mahathir – Anwar, dari terus bergaduh dan membenci kerana kuasa,” sindir portal itu.-Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget