PM tempelak bekas pemimpin negara


KUCHING - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak seorang pemimpin yang pernah mengetuai kerajaan selama 22 tahun kerana melibatkan rakyat untuk mencapai agenda peribadi.

Tanpa menyebut nama pe­mimpin terbabit tetapi dipercayai individu dimaksudkan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau berkata, bekas pemimpin negara yang mengadakan satu majlis untuk mengisytiharkan pakatan bersama pembangkang bagi menjatuhkannya baru-baru ini sebenarnya mengambil tindakan itu tanpa persetujuan rakyat.

Justeru, katanya, rakyat perlu menggunakan minda bukannya perasaan untuk menilai apa itu fakta sebenar, auta, separa kebenaran, cerita rekaan semata-mata dan pendapat peribadi.

"Hal ini kerana dalam internet dan sosial media, terdapat banyak jenis perkara yang ada. Ia ada kebenaran, pengetahuan, cerita yang direka, ada yang benar dan tidak benar.

"Ada cerita sebahagiannya benar, sebahagian tidak benar misalnya seseorang itu memulakan cerita mengatakan si polan itu pergi ke London dan ia benar tetapi apa yang berlaku di London pula direka ceritanya.

"Begitu juga misalnya apabila berlaku satu kumpulan yang diketuai oleh seorang yang pernah memimpin selama 22 tahun mengadakan majlis mengistiharkan deklarasi rakyat tetapi sebenarnya bukan deklarasi rakyat sebab ia bukan ditentukan, ditulis, dipersetujui oleh rakyat Malaysia memandangkan sebahagian besar rakyat Sarawak di sana (Semenanjung) tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku pada hari ini," ujarnya dalam ucapan ketika ketika merasmikan Majlis Pelancaran Minda di Tebing­an Kuching di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana menghitung dan mengumumkan beliau telah 46 kali melawat Sarawak dalam tempoh enam tahun menjadi Perdana Menteri iaitu paling kerap berbanding lima pemimpin lain yang pernah memegang jawatan sama sebelum ini.

Katanya, lawatan kerap itu disebabkan beliau percaya bahawa Sarawak mesti dibangunkan sejajar dengan agenda rakyat negeri ini.

"Saya percaya bahawa Sarawak mesti kita bangunkan, inilah agenda rakyat. Jangan buat deklarasi rakyat kerana hendak mengaburi mata rakyat, nak jadikan agenda peribadi itu sebagai agenda rakyat, ini bukan tentang rakyat tetapi disebabkan agenda peribadi, jangan kita (rakyat) tertipu.

"Kalau kita nak mengamalkan demokrasi, maknanya demokrasi yang harus dibuat penilaian tepat, kita mesti tahu antara fakta dan auta. Apa itu auta? Auta ialah bila kita menjanjikan sesuatu tetapi tidak dapat ditunaikan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menggesa rakyat Sarawak agar memilih pasukan Adenan untuk memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana memilih pucuk pimpinan yang bertentangan dengan kerajaan Persekutuan akan menyukarkan peruntukan pembangunan disalurkan ke negeri ini.

"Saya nak tanya anda (rakyat), kalau nak sesuatu kita mestilah sebahagian daripada pasukan dan kita (kerajaan Pusat) hanya iktiraf pasukan Barisan Nasional (BN), bukan kita mengamalkan diskriminasi kerana Kelantan dan Pulau Pinang yang diperintah oleh pembangkang pun kita bagi peruntukan tetapi kita nak lebih daripada itu.

"Pembangkang memang pandai berjanji tetapi payah menunaikannya. Itu perbezaan antara pembangkang dan kerajaan. Sebab itu, kita perlu menggunakan minda untuk membuat pilihan, pembangkang janji tak payah tunai tetapi kerajaan janji pasti akan tunaikan kepada Sarawak," katanya

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget