Masjid RM4.4 juta di Kampung Bahagia Jaya


SIBU: Penduduk di Kampung Bahagia Jaya, Teku akan mempunyai sebuah masjid baharu yang bakal dibina dengan kos RM4.4 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, pembinaan masjid baharu di atas tanah seluas enam ekar itu dijangka meng-ambil masa 15 bulan untuk disiapkan.

“Namun tidak semestinya 15 bulan masjid ini mesti siap. Kita harus melihat keadaan serta masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Saya minta penduduk kampung berganding bahu dan memberi kerjasama ke-pada jawatankuasa pembinaan masjid supaya pembinaan masjid ini tidak ada banyak masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menentukan Arah Kiblat Masjid Baharu Kampung Bahagia Jaya, Teku, petang semalam.

Jelasnya, seboleh-bolehnya ia dapat disiapkan dengan cepat iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Majlis menentukan arah kiblat itu dilakukan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baharu Kampung Bahagia Jaya, Teku Zaidil Arip, kontraktor projek daripada Elanz Design Build Sdn Bhd Zailan Yusop serta yang lain.

Menurut Dr Annuar, masjid baharu itu yang terletak bersebelahan Dewan Masyarakat Teku mampu memuatkan sehingga 1,200 orang jemaah.

Selain tempat solat, masjid baharu itu katanya, juga akan mempunyai sebuah dewan, tempat menguruskan jenazah dan sebagainya.

“Memandangkan tanah masjid ini luas iaitu enam ekar, kita mempunyai perancangan untuk membina madrasah pada masa akan datang,” katanya sambil menambah, masjid lama di Kampung Bahagia Jaya Teku iaitu Masjid Darul Halim kini telah berusia lebih 30 tahun.

Selain itu ujar Dr Annuar, kerajaan negeri memberi ba-nyak bantuan dan pembangunan untuk masyarakat Islam di Sibu meskipun jumlah masyarakat Islam hanya 10 peratus daripada jumlah ke-seluruhan penduduk Sibu.

“Kita juga harus berterima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Daud yang telah banyak memberi sokongan dan bantuan kepada masyara-kat Islam di sini,” tambah beliau.

Selain pembinaan masjid baharu Kampung Bahagia Jaya Teku itu, kerajaan turut membantu membina baharu Surau Darul Abrar di Kampung Datu, Surau Darul Ma’wa (Kampung Baru), Surau Darul Ehsan (Kampung Hilir), Surau Darul Ukhuwah (Kemuyang), Surau Darul Edruse (Kampung Seduan Jaya) dan membaik pulih Masjid Al-Qadim yang berusia lebih 180 tahun.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget