MIRI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi peluang pekerjaan kepada Watson Nyambek setelah laporan status muflis bekas pelari pecut negara itu viral di media sosial sejak minggu lalu.
Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usaha membantu Watson sedang diikhtiarkan bersama Kementerian Belia Sukan Negeri untuk memastikan kebajikan Watson dan keluarganya terpelihara.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Lee (Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin).
Usaha sedang dijalankan untuk membantu beliau daripada kenaikan pangkat, peluang-peluang kerja dan sebagainya,” jelas Khairy yang ditemui media semasa Fit Malaysia di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM) semalam.
Beliau memberitahu, Watson adalah jurulatih di bawah Majlis Sukan Negeri (MSN) dan bantuan kerajaan adalah kerana mahu melihat Watson terus maju dalam kerjayanya dan memiliki masa depan yang terjamin.
Khairy meminta Watson untuk merujuk kepada MSN, persatuan atau menemui beliau sendiri (Khairy) membincangkan masalah yang dihadapinya.
“Dalam kes ini, kita pun tidak tahu kerana beliau sendiri tidak memberitahu sesiapa.
Beliau pun tidak mahu perkara ini diperbesar- besarkan dalam media.
Saya menghormati privasi beliau,” jelas Khairy.
Banyak pihak tampil membantu menghulurkan derma kepada Watson bagi meringankan beban masalah kewangan beliau.
Masalah beliau turut mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mengumumkan akan membantu Watson.
Langkah kerajaan negeri itu juga sebagai menghargai sumbangan beliau yang digelar `The Flying Dayak’ dalam arena sukan olahraga di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
- Borneo Post Online
Post a Comment