KANOWIT: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah harus bekerjasama bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent berkata, keakraban dan semangat setia kawan di kalangan ahli parti komponen BN petanda baik buat Parti Rakyat Sarawak (PRS) mempertahankan kerusi tersebut.
“Ini bermakna DUN Ngemah tiada pengacau. Kita tidak mempunyai masalah dalam politik. Semua kita boleh bersama-sama bekerja demi kemenangan BN pada PRN kali ini,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Naik Taraf Jalan Kampung di Rumah Jugah, Rantau Dilang di sini, kelmarin.
Turut hadir isterinya Susan Clement, Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Susan Bennet, Penghulu Juin Adan, Ketua Pergerakan Wanita PRS Bahagian Ngemah Mutang Kerani, Kaunselor Bunut Kubu serta ketua-ketua masyarakat yang lain.
Majlis ini adalah anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jugah dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 1 Rantau Dilang.
Alexander yakin PRS pada PRN ini mampu menang jika perpaduan dalam parti dikekalkan.
“Dari Jagau hingga ke Nanga Bob di konstituensi DUN Ngemah telah memperlihatkan sokongan padu kepada BN. Rakyat sedar apa yang telah terjadi pada 10 tahun yang lalu di mana Ngemah ini dimiliki oleh pembangkang,” katanya.
Beliau turut menggesa rakyat di kawasannya agar tidak menganjurkan program lain apabila programnya sedang dijalankan.
“Jangan menganjurkan program bila saya menghadiri sesuatu program rasmi yang lain dalam masa yang sama. Kita tidak mahu wujudnya ‘pasukan kedua’ di DUN Ngemah,” tegasnya.
Selepas menghadiri majlis di Rumah Jugah, Alexander serta rombongannya kemudian berkunjung ke Rumah Mak Lisa di Rantau Dilang bagi menghadiri Majlis Kesyukuran terhadap Sijil Tuai Rumah Mak yang baharu dikeluarkan yang diterimanya pada Program Sejiwa Senada di Sibu bulan lepas daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Pada kedua-dua majlis tersebut, Alexander mengumumkan peruntukan sebanyak RM116,000 kepada keenam-enam buah rumah panjang yang terletak di Rantau Dilang yang terdiri daripada Rumah Jugah, Rumah Mak, Rumah Catherine, Rumah Philip, Rumah Awan, Rumah Merikan termasuk KRT Zon 1 Rantau Dilang.
Ketika majlis di Rumah Jugah, Alexander dan Susan turut menyampaikan sumbangan peribadi mereka kepada Nickson Peter seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tahun lalu.
- Borneo Post Online
Post a Comment