IS rancang culik Najib, Zahid, Hishammuddin

Mereka juga pernah merancang untuk menguji bahan letupan buatan sendiri di Alor Setar, bahkan serangan itu menyasarkan beberapa lokasi seperti masjid Syiah dan tokong.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada cubaan oleh kumpulan pengganas militan (IS) untuk menculik Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan juga dirinya.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, IS juga pernah merancang untuk menguji bahan letupan buatan sendiri di Alor Setar. Bahkan, serangan itu menyasarkan beberapa lokasi seperti masjid Syiah dan tokong.

“Saya nak maklumkan Dewan (Dewan Rakyat) tentang empat plot rancangan serangan di Malaysia yang sudah dikesan dan dipatahkan sebagai tanda keberkesanan perundangan.

“September 2014, IS merancang hendak menguji bahan letupan buatan sendiri di Alor Setar. Serangan disasarkan beberapa lokasi antaranya Masjid Syiah dan Tokong Cina.

“30 Januari tahun lalu, juga terdapat rancangan untuk menculik pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan juga Menteri Pertahanan,” katanya di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Malah, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa IS juga pernah merancang untuk meletupkan Putrajaya.

“April 2015, antara 11 elemen IS adalah merancang untuk musnahkan beberapa pusat hiburan. Mereka turut merancang untuk meletupkan Putrajaya,” tegasnya.

Sementara itu, Zahid juga secara terbuka menghulurkan salam silaturrahim kepada mana-mana parti politik dan juga badan bukan kerajaan untuk membantu Kerajaan Persekutuan menangani IS dan bukannya mengharapkan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) semata-mata.

“Kami galakkan parti politik termasuk PAS. Kerajaan alu-alukan semua pihak agar negara kita bebas dari unsur Daesh (IS), maka kami hulurkan tangan silaturrahim untuk buka peluang pada semua,” jelasnya.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget