Sejumlah RM2.05 bilion untuk sambung bekalan elektrik kepada 60,238 rumah



DARO: Kerajaan membelanjakan RM2.05 bilion untuk menyambung bekalan elektrik kepada 60,238 rumah di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Menteri Kemudahan Awam Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata setakat ini liputan BELB terkini di Sarawak mencapai 90 peratus.

“Selain itu, sejumlah RM500 juta diperuntukkan bagi projek sama menggunakan skim ‘off-grid’ dan sistem hibrid sejak bermulanya program Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 2009 sehingga kini,” katanya ketika merasmikan Projek BELB Kampung Penasu Daro di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri Muran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Murni Suhaili dan Penghulu Badang Sabeli.

Selain itu, Awang Tengah turut menyatakan bahawa projek BELB Kampung Penasu, Daro menelan kos RM10.24 juta.

“Projek ini membekalkan elektrik 24 jam kepada 88 rumah atau kira-kira 600 penduduk di kampung ini,” ujarnya.

Beliau berkata projek itu merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

“Ini adalah satu peluang yang sangat baik untuk meningkatkan kualiti pendidikan di kalangan anak-anak kampung.

“Bagi penduduk yag kebanyakannya petani dan nelayan, mereka boleh mula terlibat dalam industri pemprosesan makanan,” katanya.

Beliau kemudian meminta rakyat memberi sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata Adenan serius membawa perubahan di kawasan luar bandar. Tiada kerajaan lain dapat membantu masyarakat luar bandar selain Barisan Nasional (BN).

“Pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PRK) hanya menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget