Mauh minta penentang pencalonan Gira berhenti berbohong


SELANGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh menggesa mereka yang menentang pencalonan Christopher Gira Sambang sebagai penggantinya di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2016 agar berhenti berbohong dalam akhbar-akhbar.

Katanya Pegawai Publisiti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Tamin Tuai Rumah Awang Juing serta beberapa ketua masyarakat dan tuai rumah terbabit harus kembali ke pangkal jalan dan menyokong Gira.

“Saya mahu Awang serta Penghulu Jurampong Ratoh, Penghulu Michael Jelani, Penghulu Balai Gara, Tuai Rumah Jeti Ngerambang dan Tuai Rumah Nyawin Judi berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak mempunyai kebenaran.

“Apa yang mereka cakap dalam akhbar tempoh hari adalah bohong.

“Menurut pengkaji iaitu beberapa intelektual Iban di DUN Tamin, Gira kini semakin popular dan mulai dikenali sebanyak 95 peratus khususnya di kelima-lima Pusat Daerah Mengundi iaitu di PDM Pasai Siong, PDM Sekuau, PDM Tamin, PDM Selangau dan PDM Lemai.

“Ini berdasarkan semakin ramai golongan profesional seperti guru, doktor, jurutera dan pegawai-pegawai kerajaan di DUN Tamin tampil menyuarakan sokongan kepada Gira.

“Begitu juga Gira cukup popular di kalangan pengundi baharu khususnya belia yang mahukan Gira sebagai calon.

“Gira adalah calon terbaik di DUN Tamin dan tiada orang lain lagi. Tidak boleh tukar kerana beliau mendapat restu Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Doa Berkat Mendirikan Tiang Rumah Baharu di Rumah Linchai, Tepus, Balingian Sabtu lalu.

Hadir sama calon BN-PRS Tamin Christopher Gira Sambang, Penghulu Thomas Jawa Lasu serta ahli-ahli parti yang lain.

Mauh juga mahu Awang serta sekutunya menghormati keputusan Masing dan menunjukkan sikap setia terhadap parti.

“Bagaimanapun, saya memuji kesetiaan dan semangat keanggotaan PRS kerana sangat mengambil peduli pentingnya BN harus dikekalkan di kerusi DUN Tamin daripada jatuh kepada tangan pembangkang.

“Tetapi, jika mereka mahu melihat BN-PRS menang di DUN Tamin apa salahnya mereka menyokong Gira demi kepentingan dan semangat dalam BN.

“Jangan memandang siapa calon, asalkan lambang BN kita sokong. Itulah semangat kita mahukan dan bukannya mengutuk siapa calon,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi respons terhadap kenyataan dikeluarkan Awang serta ketua-ketua masyarakat dan tuai rumah terbabit yang diterbitkan akhbar ini pada 4 Mac lalu yang tetap dengan pendirian mereka menolak pencalonan Gira.

Selain itu, mereka berkata Gira juga tidak popular di kelima-lima PDM di DUN Tamin serta mendakwa Mauh adalah punca perpecahan PRS di DUN Tamin.

Awang dan sekutunya juga mahu pencalonan Gira dikaji serta ditarik balik oleh pucuk pimpinan BN kerana dibimbangi akan kalah pada PRN 2016.

Sementara itu, Mauh menegaskan bahawa beliau tetap bersara dan mahu memberi peluang kepada mereka yang lebih muda dan berpendidikan tinggi menggantikan tempatnya.

Menurutnya, pemilihan Gira sebagai penggantinya bukan melaluinya cuma hanya mencadangkan namanya kepada Masing.

“Masing membuat keputusan. Beliau merasakan Gira adalah calon terbaik menggantikan tempat saya,” katanya.

Mauh menasihati ahli PRS di Tamin yang berani menfitnahnya agar melihat perkara itu dengan sedalam-dalamnya sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Terpulang kepada mereka untuk cakap apa yang mereka suka untuk memuaskan hati mereka. Saya hanya menyerahkannya kepada Tuhan yang maha berkuasa menentukannya.

“Apa yang penting, saya mengajak Awang dan sekutunya agar balik ke pangkal jalan dan memberi sokongan kepada Gira demi kepentingan rakyat dan PRS,” tambahnya.

Dalam pada itu, Penghulu Thomas Jawa membidas kenyataan dikeluarkan oleh Awang dan sekutunya yang mengatakan PDM Lemai tidak menyokong Gira.

“Awang serta sekutunya mengeluarkan kenyataan bohong. Mereka mana tahu situasi kami di PDM Lemai ini.

“Mereka hanya main sebut sahaja tanpa ada kebenaran. Kawasan atau rumah-rumah panjang di bawah pentadbiran saya termasuk di Sungai Balingian iaitu di PDM Lemai menyokong 100 peratus pencalonan Gira ini.

“Beliau layak berbanding orang lain yang disyorkan oleh Awang serta sekutunya yang mahu dicalonkan mereka.

“Kami di sini tidak pernah bersubahat dengan kegiatan pembohongan mereka itu. Sebaliknya, kami menyokong penuh keputusan Masing meletakkan Gira sebagai calon kami di DUN Tamin,” katanya sambil menyeru kepada semua tuai rumah di bawah pentabirannya agar tidak terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak seperti Awang dan sekutunya.

Bagi Tuai Rumah Inggai di kawasan yang sama turut membidas kenyataan Awang dan sekutunya sebalinya menyatakan bahawa PDM Lemai tiada masalah untuk menerima Gira.

“Memang kenyataan Awang dan sekutunya itu mencurigakan. Ternyata ia adalah satu pembohongan besar,” jelasnya.

Selepas majlis itu Mauh, Gira serta rombongan menghadiri barbeku dan santai di Rumah Mawar, Sungai Kemena di sini.

Di Sungai Kemena, Mauh berkata sebelum beliau meninggalkan kerjayanya sebagai wakil rakyat, beliau ingin menunaikan janji-janji projek yang belum dapat dijalankan selama ini.

Masalah tersebut adalah disebabkan bajet yang terhad.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Adenan kerana bermurah hati memberi peruntukan tambahan bagi projek tersebut.

“Peruntukan bagi projek terbabit akan diagihkan dalam bentuk wang tunai dalam masa terdekat,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget