Politik ‘sakit’ di Semenanjung tidak boleh dikaitkan dengan Sarawak


KUCHING: Politik yang sedang ‘sakit’ di Semenanjung Malaysia tidak boleh dikaitkan dengan politik di Sarawak.

Menurut Penganalisis Politik Datuk Peter Minos, sama ada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mahupun Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak boleh campur tangan dengan politik Semenanjung Malaysia termasuk gerakan untuk menumbangkan pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Setiap apa yang berlaku di Kuala Lumpur, sama ada melibatkan BN mahupun parti pembangkang, ia adalah tanggungjawab mereka di sana untuk menyelesaikannya.

“Kita di Sarawak tidak ada kuasa atau pengaruh untuk campur tangan dalam masalah politik mereka,” katanya kepada pemberita, semalam.

Beliau yang juga merupakan veteran PBB berkata, tindakan menyalahkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta mengaitkan politik di Semenanjung Malaysia dengan negeri ini adalah sesuatu yang tidak betul.

Katanya Adenan langsung tidak ada kena mengena dengan setiap gerakan atau tindakan politik di sana.

“Lihat kepada fakta, Adenan dan PBB tidak pernah membenarkan kemasukan UMNO ke Sarawak malah beliau (Adenan) memberitahu dengan tegas dan terang akan mempertahankan dan berjuang untuk mendapatkan hak-hak negeri ini dan kita semua tahu mengenai perkara ini,” tegasnya.

Jelasnya lagi, ketika Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Semenanjung Malaysia berbalah sesama sendiri, BN di Sarawak tidak pernah meminta PKR dan DAP Sarawak untuk keluar daripada Pakatan.

“Itu adalah masalah dalaman mereka dan kita sudah cukup matang dan bijak untuk tidak masuk campur dalam urusan mereka dan permasalahan mereka,” jelasnya.

Beliau mengingatkan sekali lagi bahawa pemimpin tempatan parti politik dari Semenanjung Malaysia tidak memberikan Sarawak sebarang kebaikan dan bantuan dengan membawa masuk cara serta taktik kepimpinan asing dan kasar.

Meskipun pemimpin Sarawak mematuhi cara demokratik bebas daripada persaingan politik, keharmonian dan sikap saling menghormati antara kaum yang berbilang di negeri ini tetap tidak dilupakan dalam apa juga keadaan, ujarnya.

“Sesiapa sahaja yang mengatakan atau melakukan perkara yang melampaui batas atas nama kebebasan dan demokrasi adalah sebenarnya menanam sikap ketidakharmonian dalam masyarakat.

“Perkara ini sama sekali tidak boleh diterima sama sekali dalam negeri kita yang harmoni ini,” katanya.

Beliau turut menyifatkan politik Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai ‘minyak dan air’ yang tidak boleh dicampur.

Sesiapa yang mencuba untuk mencampurkan kedua-dua politik tersebut, adalah sama ada mereka sememangnya naif atau sengaja ‘menangguk di air yang keruh, tegasnya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget