Batang Kemena, Sebauh terus menikmati pembangunan pesat


BINTULU: Kawasan Batang Kemena dan Sebauh terus menikmati pembangunan pesat ekoran penaiktarafan kawasan berkenaan kepada daerah penuh Sebauh.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata dengan penaiktarafan daerah Sebauh menjadi daerah penuh secara tidak langsung menjadi titik tolak kepada pembangunan lebih pesat dalam sektor ekonomi, prasarana dan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.

“Apa yang lebih penting penduduk di kawasan ini harus mengekalkan sokongan padu terhadap kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan komponen BN terbesar di Sarawak,” katanya pada Program Gotong-Royong PBB Ranting Sebauh 2 dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hulu Sebauh di Rumah Nicholas Bat di sini.

Sambil menyifatkan DUN Kemena sebagai kubu kuat PBB, Dr Rundi berkeyakinan besar BN mampu menang majoriti besar di kawasan Sebauh/Kemena memandangkan kepimpinan parti terbabit menunjukkan prestasi yang baik selama ini.

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena saya turut berbesar hati dan bangga dengan pembangunan pesat berlaku di sini, khususnya projek pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang disifatkan antara projek usaha sama pembangunan tanah paling berjaya di negeri ini,” jelas beliau.

Jelasnya, semua itu membuktikan rakyat di Sebauh khususnya pemilik tanah NCR semakin sedar keuntungan mereka perolehi hasil daripada pembangunan tanah adat.

Dr Rundi memberi respons positif terhadap permintaan ketua masyarakat di Sebauh meminta agar pejabat jabatan serta agensi kerajaan dibina di seberang pasar Sebauh kerana lokasinya agak tinggi dan tidak mudah dilanda banjir.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bantuan RM20,000 kepada JKKK Rumah Nicholas Bat sebagai sokongan komuniti rumah panjang terbabit menjalankan kegiatan mereka.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Jenny Bangga dan Victor Temenggung Anggang.-UTUSAN BORNEO

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget