Diadakan di Dewan Kampung Buntal, di sini, ia juga merupakan program anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program tersebut amat disambut baik dalam usaha memperkasa penglibatan penduduk kampung untuk menyertai bidang keusahawanan, khusus buat golongan wanita tempatan.
“Umum tahu, pelaksanaan program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam bidang keusahawanan banyak menerapkan penglibatan wanita.
“Hasrat ini menjadi keutamaan kepada kerajaan dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga termasuk di kawasan luar bandar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Membara Usahawan Jaya di Kampung Buntal, kelmarin.
Katanya dalam usaha untuk menjadi usahawan, perkara utama yang perlu ada dalam diri ialah ilmu serta pengetahuan dalam selok belok pengurusan dan pentadbiran bidang perniagaan.
“Maka dengan itu, program seperti ini amat bagus dianjurkan bagi membantu golongan wanita khususnya yang berhasrat mahu berkecimpung dalam perniagaan dan keusahawanan.
“Pada masa sama, untuk menjadi usahawan berjaya, usaha berterusan perlu dilakukan bagi memastikan perniagaan kita mencapai kestabilan dan seterusnya membuka ruang dan peluang untuk memasarkan produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Pelaksanaan perniagaan secara berkumpulan juga memainkan peranan penting dalam usaha memajukan perniagaan kerana elemen tersebut memberi sokongan kepada para usahawan, ujarnya.
Beliau juga berkesempatan melahirkan harapan agar golongan wanita Pantai Damai, khususnya dapat mentransformasikan diri untuk mengecapi kejayaan dalam pelbagai bidang yang dapat meningkatkan sosioekonomi keluarga dan masyarakat.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.