UMNO bertindak selepas siasatan selesai


KOTA BHARU - Jawatankuasa Disiplin dan Majlis Tertinggi UMNO akan bertindak sebaik sahaja siasatan ke atas tujuh pemimpin yang didakwa membuat kenyataan terbuka sehingga menjejaskan parti tersebut selesai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini, sebuah jawatankuasa khas UMNO yang ditubuhkan telah mengumpul semua maklumat mengenai individu terbabit sebelum diserahkan kepada pihak atasan parti.

Pada masa sama katanya, beliau juga menyerahkan kepada kebijaksanaan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mengumpul segala maklumat terperinci mengenai tujuh pemimpin tersebut.

“Saya serahkan atas kebijaksa­naan Setiausaha Agung untuk me­ngumpul butiran terperinci terhadap individu yang disebutkan oleh beliau itu,” katanya kepada pembe­rita selepas Majlis Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siasatan terhadap tujuh pemimpin UMNO yang dikatakan membuat kenyataan secara terbuka sehingga menjejaskan parti.

Sebelum ini, Tengku Adnan dilaporkan berkata, tujuh pemimpin yang tidak didedahkan identitinya itu mungkin berhadapan tindakan digantung parti dan digugurkan daripada jawatan masing-masing.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, para pemimpin UMNO akan sentiasa turun ke akar umbi bagi bertemu ahli-ahli parti sete­rusnya menjelaskan isu-isu berbangkit.

Beliau berkata, selain itu, langkah turun padang tersebut juga penting bagi merapatkan saf kepemimpinan di semua peringkat.

“Melalui perjumpaan seperti ini, kita mahu dapatkan maklum balas terhadap kerja-kerja yang harus dilakukan untuk memperkukuhkan parti.

“Kita juga memberi penjelasan melibatkan isu-isu melalui komunikasi secara bersemuka,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget