Percaya kepimpinan BN buat keputusan terbaik tentukan calon boleh menang di kerusi berkaitan
KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) yakin kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akan memperuntukkan kerusi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, parti percaya kepimpinan tertinggi BN Sarawak akan membuat keputusan terbaik dalam menentukan calon yang boleh menang di kerusi berkaitan.
Namun menurutnya ia masih terpulang kepada pucuk kepimpinan BN khasnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai pengerusi BN Sarawak dalam menentukan perkara berkenaan.
“Kami percaya beliau (Ke-tua Menteri) akan melakukan keputusan terbaik… memang kami tidak dapat membuat jaminan bahawa beliau akan memberi kerusi kepada parti atau tidak memperuntukkan tetapi kami percaya dengan keputusannya.
“Jika tidak, kenapa beliau mengumumkan beberapa ke-rusi yang disandang pemimpin TERAS sedia ada seperti Datuk Sylvester Entri Muran (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) selain secara tidak langsung Tan Sri William Mawan (Pakan) untuk bertanding?,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Keahli-an Baharu TERAS dari Krian, Saratok di ibu pejabat TERAS di sini, semalam.
Nansian yang juga ADUN Tasik Biru menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada ‘keluarga’ BN, TERAS tidak menuntut kerusi tetapi memilih untuk bekerjasama dengan komponen lain.
“Sebagai sebahagian daripada BN kami perlu bekerjasama dan mendengar apa dinyatakan pucuk kepimpinan dan memberi mandat kepadanya dalam menilai… apa pun ia terpulang kepadanya untuk membuat keputusan,” tegas beliau.
Mengenai 11 kerusi baharu DUN, Nansian tidak menafikan parti cuba berunding dengan BN untuk perkara berkenaan tetapi ia juga masih tertakluk kepada hak istimewa Ketua Menteri menentukan.
Jelasnya, malahan parti telah mengenal pasti calon berpotensi di kerusi Krian namun masih lagi memerlukan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi dalam menilai individu berkenaan.
“Ini sekali lagi terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi BN kerana kami tahu bahawa tidak ada maknanya kita menuntut kerusi jika ia tidak membawa kemenangan kepada BN kerana kerusi milik BN bukan parti sahaja,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang merekrut ahli terdiri daripada profesional Dayak untuk bertanding di kerusi Dayak pada PRN akan datang, Nansian berkata ia hak mana-mana individu untuk bertanding.
Sebagai negara demokrasi, maka ia ada hak mereka untuk bertanding mewakili parti yang dipilih dengan matlamat masing-masing, ujarnya.
Namun beliau percaya rakyat sendiri akan menilai siapa yang akan dipilih mewakili mereka tambahan BN juga telah membuktikan mampu menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat khas-nya di luar bandar.
- Borneo Post Online
Post a Comment