SPDP masih mempunyai penyokong kuat, ramai di Pakan


PAKAN: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masih mempunyai penyokong kuat dan ramai berdasarkan maklum balas diberi setiap sesi suai kenal sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan.

Pelobi calon SPDP N41 Pakan Dr Jawie Jinggut berkata, hasil lawatan ke segenap pelosok kawasan berkenaan, rata-rata masyarakat di situ mengatakan menaruh harapan tinggi terhadap SPDP dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memimpin mereka pada masa akan datang.

“Pelbagai luahan, masalah malah tidak kurang yang memberi idea mengenai masalah berlaku dan isu masyarakat di kawasan ini.

“Kita yakin dengan respons, kerjasama dan hubungan yang baik dengan peringkat akar umbi ini akan mampu memberi lebih semangat kepada kami untuk berjuang demi rakyat di kawasan ini,” katanya.

Jelasnya, ia akan menjadi landasan utama memulakan semula langkah menyiapkan segala bentuk perancangan untuk disalurkan ke kawasan itu, khususnya yang melibatkan pembangunan infrastruktur.

Dr Jawie berkata demikian pada Majlis Lawatan Suai Kenal ke Rumah Lila Ulu Pedanum Pakan, semalam.

Menurut Dr Jawie, pembangunan infrastruktur satu aspek yang amat ditunggu masyarakat di kawasan itu.

Justeru katanya, mereka yakin jika diberi mandat untuk memimpin kawasan itu pada masa akan datang dengan memberi tumpuan khusus terhadap perkara berkenaan.

Menurut Dr Jawie, selama ini beliau sedar mengenai masalah membelenggu masyarakat di kawasan itu dan bagi menghadapi semua perkara tersebut, beberapa kajian dan kertas kerja telah disediakan.

“Sebagai seorang anak jati dari kawasan ini, kita sedar perkara-perkara yang diperlukan oleh masyarakat dari kawasan ini,” jelasnya.

Tambahnya, mulai sekarang fokusnya akan terus membina kekuatan SPDP dan mengembalikan kegemilangan, perpaduan di kalangan ahli dan kepercayaan rakyat kepada parti untuk memimpin dan membangunkan mereka.

“Kita akan terus menjalankan pendaftaran ahli di semua peringkat terutama golongan muda dan yang lain yang percaya dan ingin menyertai perjuangan kita.

“Kali ini kita berusaha memberi tumpuan kepada menarik lebih ramai golongan muda untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam bidang politik, khususnya yang bersifat terbuka dan sihat.

“Namun begitu, keutamaan kita adalah rakyat, sebab itulah kita sentiasa memastikan rakyat diutamakan bukan sahaja mendekati mereka malah mendengar serta mengenal pasti keperluan mereka seterusnya menyelesaikan masalah dihadapi,” tegas Dr Jawie.

Tambah Dr Jawie lagi, ahli SPDP harus bekerjasama dengan jentera parti BN yang lain terutama dalam memastikan kerajaan dan kepimpinan BN terus bertakhta di hati rakyat serta dipercayai, iaitu dengan memenangi kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sekitar 100 penduduk dari kawasan berhampiran menghadiri majlis berkenaan.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget