SERDANG: Pemuda DAP (DAPSY) kecewa dengan kerajaan Selangor yang tidak mengiktiraf gabungan pakatan pembangkang yang baharu, Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat di negeri itu.
Ketua DAPSY, Teo Kok Seong berkata, keputusan kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besarnya, Mohamed Azmin Ali seperti tidak menghargai usaha pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mempertahankan Pakatan Rakyat selama ini.
Tambah mengecewakan, katanya, Azmin mengabaikan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merestui Pakatan Harapan.
“Saya ingin menyatakan kekecewaan terhadap kerajaan Selangor kerana tidak mengiktiraf penubuhan Pakatan Harapan walaupun penubuhannya direstui Presiden PKR,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres DAPSY 2015 pada Ahad.
Kok Seong berkata, pemimpin Amanah meninggalkan Pas kerana prinsip dan menjadi tanggungjawab PKR dan DAP untuk membela dan membantu pemimpin Amanah.
Azmin menolak Pakatan Harapan untuk menggantikan pentadbiran negeri Selangor selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.
Beliau mempertahankan kerajaan gabungan PKR, DAP dan Pas di Selangor yang telah mentadbir negeri itu dengan baik.
Wan Azizah dan pimpinan PKR serta Pas dilaporkan menerima keputusan Azmin itu dan begitu juga Exco kerajaan negeri dari DAP demi mempertahankan kerajaan Selangor.
Bagaimanapun, pimpinan DAP pusat tidak berpuashati dan mendesak Amanah diterima dalam pentadbiran negeri untuk menggantikan Pas.-Free Malaysia Today
Post a Comment