SPDP masih dalam BN, tegas Tiong

Sangkal khabar angin menyatakan SPDP tidak lagi berada dalam BN

MARUDI: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyangkal khabar angin disebarkan sesetengah pihak di sini menyatakan bahawa parti itu tidak lagi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN).

Bercakap kepada lebih 1,000 hadirin pada Majlis Pemimpin SPDP Bersama Rakyat anjuran Sayap Pemuda SPDP di Rumah Aji Sungei Selepin Baruh kelmarin (Sabtu), Tiong memberi jaminan bahawa parti itu masih lagi komponen BN malah masih aktif di peringkat akar umbi.

“Saya boleh memberi jaminan, SPDP tanpa sebarang keraguan adalah parti komponen BN, sama seperti komponen lain iaitu PRS (Parti Rakyat Sarawak), SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) dan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di Sarawak,” ujarnya.

Semasa majlis itu, beliau turut menerima 240 borang permohonan menjadi ahli parti daripada SPDP Cawangan Marudi dan antara pemohon itu, 36 merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Hadir sama Naib Presiden SPDP merangkap Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Ketua Wanita SPDP Datuk Chew Yen Chiew, Ketua Pemuda Kaunselor Robert Ayu, Pengerusi SPDP Telang Usan Wan Lah, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Datu Penguang Manggil dan wakil-wakil daripada PBB, SUPP dan PRS.

Tiong menegaskan bahawa Marudi secara tradisionalnya di bawah SPDP dan parti itu akan mempertahankan Marudi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Beliau menambah, SPDP juga akan mempertahankan tujuh lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu di bawah persetujuan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya majlis itu dianjurkan sempena lawatan beliau ke situ untuk meninjau situasi di peringkat akar umbi dan akses respons rakyat mengenai calon-calon berpotensi parti pada PRN akan datang.

“Memandangkan Pilihan Raya Negeri semakin hampir dan ia boleh diadakan pada bila-bila masa, saya perlu memastikan calon-calon berpotensi kita turun padang, berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Robert yang berucap pada majlis itu turut menyelar tindakan segelintir ahli Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) kerana menyebar khabar angin mengatakan SPDP bukan lagi ahli BN dengan niat mengelirukan rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau juga menafi dakwaan ahli TERAS di sini bahawa parti mereka parti BN kerana ia tidak akan menjadi sebahagian BN tanpa persetujuan sebulat suara semua parti komponen BN.

“Menurut perlembagaan BN, yang mesti dipatuhi semua parti komponen, mana-mana parti politik lain yang mahu menyertai keluarga BN mesti mendapat persetujuan semua.

“Oleh itu, mana-mana parti mendakwa mereka mesra BN atau ‘BN-plus’, bukan parti komponen BN.

“Ada empat parti komponen BN di sini, sehingga sekarang ia kekal PBB, SPDP, PRS dan SUPP,” tegasnya.

Robert turut berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin daripada parti komponen BN kerana menunjukkan sokongan kepada SPDP dengan menghadiri sesi dialog bersama penyokong di peringkat akar umbi di situ.

Beliau menegaskan, ia membuktikan SPDP masih mendapat sokongan kuat daripada parti komponen BN lain.

Sementara itu, Anyi Ngau meminta orang ramai kekal bersama SPDP dan memberi sokongan mereka bagi memastikan calonnya boleh memenangi kerusi dipertandingkan untuk BN.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget