Gabungan pembangkang baharu tanpa PAS akan gagal, kata Tuan Ibrahim



Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan hasrat penubuhan gabungan parti pembangkang baharu tanpa penglibatan PAS tidak akan berjaya kerana parti Islam itu dikira dominan dalam sejarah politik Malaysia.

Timbalan presiden PAS itu (gambar, kanan) berkata, parti yang dipimpinnnya bukanlah baharu memerlukan sokongan daripada parti pembangkang lain kerana sejarah sudah membuktikan kemampuan mereka.

"Bagi PAS sendiri, sebarang usaha untuk membuat gabungan pembangkang tanpa melibatkan PAS tidak akan berhasil kerana parti ini merupakan parti pembangkang utama di negara ini. Ia terbukti dalam sejarah politik Malaysia.

"Sebarang gabungan tanpa libatkan PAS akan menjadikan ia pincang, tidak stabil dan tidak kuat.

"Dari segi pengalaman, PAS pernah diketepikan dan tetap buat kerja, berbakti kepada rakyat secara bersendirian tanpa parti pembangkang lain," katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Tuan Ibrahim berkata PAS tidak janggal untuk bergerak sendirian dalam arena politik tanah air kerana ahlinya kini sudah ramai.

"PAS juga sedang mengukuhkan parti melalui jelajah ke negeri di samping himpunan pada waktu malam," beliau dipetik sebagai berkata.

Semalam, bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad berkata Gerakan Harapan Baru (GHB) sedia menggantikan kedudukan PAS dalam gabungan baharu yang diumumkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau PAS sudah tidak mahu bersungguh-sungguh dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam satu gabungan yang mampu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), maka kami akan mengambil alih peranan itu," katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, Selangor.

Pengumuman Anwar disambut kenyataan ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang yang mendedahkan PAS tidak dijemput dalam mesyuarat penubuhan gabungan baharu bagi menggantikan PR.

Susulan pengumuman itu, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan kepada ahli partinya agar tidak berketuakan DAP yang "tidak beriman dan budiman".

Menurut Khalid, beliau tidak dapat menduga dinamik hubungan PAS dengan pakatan baharu itu kelak, namun jelasnya GHB seboleh mungkin akan mengelakkan pertembungan 3 penjuru dengan parti Islam itu dalam pilihan raya umum. – 24 Julai, 2015.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget