GHB sedia ganti PAS dalam gabungan baharu, kata Khalid Samad



Gerakan Harapan Baru (GHB) sedia menggantikan kedudukan PAS dalam gabungan baharu yang diumumkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komitmen itu dinyatakan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang merupakan salah seorang daripada 8 ahli Parlimen PAS yang bersama gerakan itu – sedang dalam proses mendaftarkan sebagai sebuah parti politik baharu.

"Kalau PAS sudah tidak mahu bersungguh-sungguh dengan Pakatan Rakyat (PR) dalam satu gabungan yang mampu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), maka kami akan mengambil alih peranan itu," katanya pada sidang media di pejabat beliau di Shah Alam, semalam.

Pengumuman Anwar disambut kenyataan ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang yang mendedahkan PAS tidak dijemput dalam mesyuarat penubuhan gabungan baharu bagi menggantikan PR.

Susulan pengumuman itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan kepada ahli partinya agar tidak berketuakan DAP yang "tidak beriman dan budiman".

Menurut Khalid, beliau tidak dapat menduga dinamik hubungan PAS dengan pakatan baharu itu kelak, namun jelasnya GHB seboleh mungkin akan mengelakkan pertembungan 3 penjuru dengan parti Islam itu dalam pilihan raya umum.

Bagaimanapun sekiranya ia berlaku, rakyat akan menilai pihak mana di antara GHB dan PAS yang lebih komited melawan Umno dan BN.

"Kalau berlaku 3 penjuru ia akan untungkan Umno. Oleh itu, kita perlu cari mekanisma penyelarasan. Kalau tak dapat dielak, pengundi kena pilih parti mana yang lebih komited kepada usaha jatuhkan Umno," katanya dalam wawancara dengan kumpulan Facebook “The Rage for Liberty” yang berlangsung selepas sidang media.

Sementara itu, Khalid turut menyeru menyelaraskan pandangan parti terhadap ahli PAS yang berminat dengan GHB.

Menurut bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu, seharusnya kepimpinan pusat bermesyuarat terlebih dahulu dan bukannya mengeluarkan pelbagai kenyataan bercanggah.

Katanya, pada masa ini kenyataan dikeluarkan pelbagai kumpulan seperti PAS Selangor, Kelantan dan Pemuda.

"Jadi sekarang ini tegaskan pendirian anda – panggil ahli Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat bincang masalah kami ini dan berikan surat kepada kami, apa sebenarnya yang kamu hendak daripada kami. Hendak kami letak jawatan atau apa?

"Apabila dah dapat itu barulah kami respons, sekarang ini kalau kami respons pun berbagai-bagai punya komen, tak perlu kita respons," katanya pada sidang media.

Khalid berkata, PAS seharusnya memberikan pendirian rasmi mereka secara bertulis kepada pemimpin GHB dan bukannya menggunakan media.

"Lakukan secara profesional dan teratur barulah kami akan respons," katanya. 

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget