Kes penipuan kutip derma guna nama madrasah, tahfiz kurang di Sarawak




KUCHING  – Kes penipuan kutipan derma dengan menggunakan nama madrasah atau pusat tahfiz tidak banyak berlaku di negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, aktiviti penipuan kutipan derma melalui nama pusat tersebut masih lagi terkawal di Sarawak berbanding di Semenanjung.

“Aduan yang diterima tidak banyak. Bagaimanapun, kita melalui Majlis Agama Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak sentiasa melakukan pemantauan.

“Orang ramai juga diminta membantu dengan memastikan derma diberikan kepada institusi yang benar-benar wujud,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa menyerahkan bantuan kebajikan untuk sebuah keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Jalan Astana di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai sindiket kutip derma yang menggunakan nama madrasah yang dilaporkan semakin berleluasa ketika ini.

Mengulas lanjut, Daud berkata, sikap suka menderma memang perkara baik tetapi masyarakat perlu prihatin dan peka kepada siapa mereka menghulurkan sumbangan tersebut.

Terdahulu, Daud yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menyampaikan bantuan wang tunai daripada Biro Kebajikan DUN Tupong berjumlah RM5,500 dan RM7,700 (Tabung Baitulmal Sarawak) kepada keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran ber­kenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan berusaha memberikan sekurang-kurangnya tiga unit flat untuk didiami buat sementara oleh keluarga yang terlibat dalam kejadian itu memandangkan jumlah ahli keluarga mereka yang ramai.

“Insya-Allah, mereka akan diberi keutamaan tetapi bergantung pada kekosongan di Flat Sri Wangi atau Taman Dahlia di sini,” katanya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget