KUCHING: Setiap rakyat Sarawak sudah cukup bijak untuk menyedari bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang adalah hanya mengenai kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, di mana beliau melakukan begitu banyak perubahan mengagumkan terhadap negeri ini dalam masa dua tahun yang cukup singkat.
Antara pencapaian beliau adalah menghapuskan beberapa tol di Sarawak, selain berjuang untuk projek Lebuh Raya Pan Borneo yang panjangnya hampir tiga kali ganda daripada Lebuh Raya Utara Selatan yang ada di Semenanjung Malaysia, di mana ia kini dalam peringkat pelaksanaan serta bebas tol.
Malah sebaik dilantik sebagai Ketua Menteri katanya, Adenan turut menentang jutawan balak serta melindungi tanah-tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) selain berani berhadapan dengan kerajaan persekutuan dan memenangi lebih banyak kuasa autonomi berbanding Ketua Menteri sebelumnya.
“Pilihan raya akan datang tidak ada kaitan dengan Najib, tetapi Adenan. Jangan mudah dimanipulasi oleh DAP (Parti Tindakan Demokratik) yang sekadar mahu memenangi kerusi-kerusi ditandingi semata-mata,” kata Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan, semalam.
Fadillah yang juga Menteri Kerjaya Raya, turut mempersoalkan sumbangan DAP Sarawak sejak memenangi banyak kerusi pada PRN lepas selain bergaduh sesama sendiri dalam parti sehingga berpuak-puak.
Malah, parti itu turut tidak bersefahaman dengan rakannya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sarawak.
Walaupun DAP Sarawak cuba memainkan isu 1MDB namun penduduk Sarawak cukup bijak untuk mengetahui bahawa isu itu adalah tentang perebuatan kuasa dalaman yang diketuai oleh Tun Mahathir, katanya sambil menambah, Adenan sendiri pernah menyatakan Tun Mahathir tidak banyak menyumbang kepada Sarawak walaupun memegang kuasa selama 22 tahun, berbanding apa yang Najib lakukan.
“Keputusan pilihan raya Sarawak yang buruk bukan sahaja buruk untuk Najib malah menjejaskan Sarawak juga,” katanya.
Fadillah turut menyifatkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebagai ahli politik yang terdesak apabila mengeluarkan kenyataan tidak sihat bagi rakyat Sarawak untuk tidak menyokong parti berasaskan Sarawak untuk Sarawak.
“Kita juga terkejut apabila DAP membuat serangan peribadi terhadap Adenan apabila menyatakan ‘Adenan mungkin nampak seperti pemimpin yang baik buat masa ini, tetapi semua pemimpin rasuah dan kejam bermula sebagai pemimpin yang baik dan kemudian kuasa mutlak dimiliki telah merosakkan mereka’.
“Adenan sebelum ini pernah menyatakan secara terbuka bahawa beliau akan bersara selepas satu penggal penuh di pejabat pada Oktober tahun lepas di mana ramai yang bersedih mendengar pengumuman itu namun katanya (Chong), beliau harus diberi peluang untuk terus berkhidmat kepada Sarawak.
“Kenyataan Chong baru-baru ini jelas mencerminkan DAP mengiktiraf sumbangan-sumbangan Adenan yang turut diakui rakyat.
“Apa yang pasti, kemenangan besar Adenan dan BN Sarawak sudah pasti akan mengkukuhkan kedudukan beliau dalam menuntut lebih banyak autonomi dan dana bagi pembangunan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau turut menyifatkan DAP cuba memanipulasi rakyat Sarawak dengan memainkan isu membelenggu kerajaan persekutuan seperti 1MDB dalam PRN.
“Jika 1MDB masih tidak dapat diselesaikan dalam dua tahun atau anda masih tidak gembira dengan apa dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib, anda masih boleh meluahkannya pada Pilihan Raya Umum nanti tetapi yang akan datang adalah Pilihan Raya Negeri, bukan Pilihan Raya Umum.
“Ia adalah mengenai Adenan Satem, bukan Najib Tun Razak… kenapa harus menghukum Adenan berbanding memberinya ganjaran atas kerja bagus yang dilakukannya dalam masa dua tahun?” katanya.
Oleh itu, Fadillah menyeru rakyat Sarawak untuk memberi sokongan padu kepada Adenan dan BN Sarawak pada PRN tidak lama lagi.
“Berikan beliau kemenangan besar bagi memantapkan kedudukannya dalam berurusan dengan kerajaan persekutuan dalam memberi terbaik kepada penduduk Sarawak.
“Biarkan Adenan meninggalkan legasi beliau dalam tempoh lima tahun akan datang dan kami, Pemuda BN akan berdiri teguh di sisi Adenan,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.