Sebaliknya harus secara ideologi keamanan menerusi hubungan perdagangan dan ekonomi, kata Taib
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ideologi itu bukan sesuatu yang baharu dalam Islam dan ia boleh diterima oleh bukan Islam.
Menurutnya masyarakat dunia hari ini hidup dalam era di mana keamanan sangat penting dan semua kita mesti menyumbang kepada keamanan dunia.
“Ideologi penyebaran Islam menerusi perdagangan dan ekonomi seperti ketika zaman kebangkitan Islam telah memainkan peranan sangat penting dalam mewujudkan keamanan kerana ia (ideologi) itu boleh diterima bukan Islam.
“Tiada unik dan istimewanya ideologi ini kepada Islam dalam memelihara keamanan bersama dengan hubungan perdagangan dan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Keamanan Sejagat 2015 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Majlis anjuran bersama Majlis Islam Sarawak dengan Liga Dunia Islam (MWL) turut dihadiri Setiausaha Agung MWL Profesor Dr Abdullah Abdulmuhsen Al-Turki, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Yang Dipertua MIS Datu Putit Matzen dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.
Taib menambah, sudah tiba masanya untuk menghidupkan semula pendekatan itu kerana cara kekerasan menerusi ketenteraan tidak lagi sesuai.
Bagi Malaysia katanya, usaha untuk mewujudkan zon keamanan dan kemakmuran, jalinan kerjasama erat dijalinkan tidak hanya dengan negara Islam tetapi bukan Islam.
“Malaysia mempunyai hubungan kukuh dengan Indonesia serta negara-negara Asia Tenggara lain, konsep itu adalah cubaan mewujudkan keamanan dan perluasan ASEAN.
“Kita mahu idea keamanan ini wujud secara kekal dalam urusan sesama negara Asia menerusi hubungan baik Malaysia dengan China, Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
Taib berkata, pada masa akan datang, bakal wujud kuasa besar di Laut Cina Selatan dan sudah tentu dunia tidak mahu penyebaran itu melibatkan persaingan antara kuasa besar tetapi mengambil kira kepentingan melindungi keamanan sejagat.
Mengenai persidangan selama dua hari itu, beliau berkata ia peluang terbaik kepada Sarawak khasnya, kerana membolehkan golongan cerdik pandai bertukar idea dan pandangan seterusnya menyumbang kepada usaha memperkuatkan keadaan dunia.
“Hidup dalam era keamanan sangat penting, justeru saya amat berharap peserta persidangan ini akan mencapai usaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya keamanan dunia dan bagaimana kita sebagai umat Islam menyumbang kepada usaha mengukuhkan keamanan,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment