KOTA BHARU: PAS Kelantan mencatat sejarah meraikan sambutan ulangtahun ke-60 hari ini ketika sebilangan bekas pemimpin dan penyokong mencari wadah baru.
Medan Ilmu yang menjadi tumpuan setiap pagi Jumaat bertukar imej apabila di sepanjang laluan di Jalan Dato Pati dipasang khemah mempamerkan pelbagai kejayaan kerajaan negeri dan PAS.
Biarpun hujan lebat mencurah-curah ketika program perasmian berlangsung, namun ia tidak menghalang orang ramai mengikuti program berkenaan yang bermula jam 8 pagi.
Sambutan bermula dengan kuliah perdana disampaikan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, selepas perarakan pemimpin ke pentas utama.
Kemudian diikuti persembahan silat terlak yang menyaksikan pertarungan tanpa senjata, menarik perhatian orang ramai.
Program perasmian didahulukan dengan nyanyian Negaraku dan lagu PAS.
Timbalan Mursyidul Am Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, ketika PAS Kelantan melewati usia 60 tahun, parti itu diuji dengan kewujudan parti baru kalangan bekas pemimpin PAS yang tewas pada muktamar Jun lepas.
Oleh itu katanya ketika gelombang tersebut sedang memuncak setiap pemimpin dan penyokong hendaklah bersabar.
“Selepas itu gelombang yang berlaku akan reda. Cuma apa yang perlu kita lakukan sekarang hendaklah banyak bersabar.
“Begitu juga keputusan PAS tidak lagi mengadakan pakatan dengan DAP, namun dalam masa yang sama terus kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PKR.
“Kita tidak rugi biar pun sudah putus hubungan dengan DAP kerana ia dapat memudahkan PAS melaksanakan tugas politik dakwah dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen di negara ini,” katanya ketika merasmikan sambutan tersebut.
Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Bendahari PAS Pusat, Mohamad Nor Mohd, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh, wakil PAS negeri-negeri, pemimpin PAS, PKR Kelantan dan wakil-wakil rakyat.
Menurut Ustaz Ahmad yang juga Menteri Besar, selepas pilihan raya umum ke-12 telah dipersetujui secara konsensus setuju untuk tidak bersetuju berkaitan Pakatan.
Katanya, persetujuan tersebut telah ditandatangani semua pimpinan Pakatan termasuk DAP, PKR dan PAS.
Bagaimanapun tambahnya selepas PRU-13 berlaku perlanggaran apabila DAP mencampuri urusan PAS yang berjuang di medan politik dakwah.
Sempena program berkenaan juga turut diadakan pelancaran dua buku iaitu Legasi Tok Guru Politik dan Dakwah tulisan Dr Wan Nik Wan Yussof serta Tok Ayah Kedah karya Mohd Fadli Ghani yang disempurnakan Ustaz Tuan Ibrahim.
Manakala Ustaz Ahmad pula merasmikan pejabat Legasi Tok Guru dan Galeri Penerangan PAS di tingkat satu bangunan Pejabat Perhubungan PAS Negeri.
Program sambutan diteruskan di sebelah petang dengan pidato istiqamah, alam ria Pasti, himpunan ulama dan anak muda serta persembahan kebudayaan.
Sebelah malam pula solat hajat dan munajat, tayangan video 60 tahun PAS Kelantan, pengkisahan suka duka serta ceramah perdana.
- Harakah Daily
- Harakah Daily
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.