PUTRAJAYA – Peguam Datuk V.K Lingam yang pernah menggemparkan masyarakat berkaitan isu skandal pelantikan hakim pada 2002, dilarang daripada mengamalkan undang-undang berikutan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara yang menggugurkannya daripada jawatan itu pada 6 November lalu.
Pengerusi Majlis Peguam, Steven Thiru berkata, Lingam dilarang berbuat demikian selepas Lembaga Disiplin mendapati peguam terkemuka itu terlibat dalam salah laku berhubung klip video mengandungi rakaman perbualan di antaranya dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau berkata, Lingam yang sedang menjalani rawatan perubatan di luar negara bagaimanapun dibenar mengemukakan rayuan dalam tempoh sebulan dari tarikh tersebut.
“Pemecatannya daripada jawatan selaku peguam bela dan peguam cara berkuat kuasa selepas 21 hari dari tarikh keputusan dibuat,’’ ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, peguam R. Thayalan yang mewakilinya ketika Lembaga Disiplin bersidang memberitahu, Lingam telah bersara daripada bidang guaman dan menutup firmanya akhir tahun lalu atas sebab-sebab kesihatan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Lingam akan merayu keputusan Lembaga Disiplin tersebut di Mahkamah Tinggi.
Lingam merupakan peguam kontroversi yang didedahkan oleh klip video yang dirakam pada 2002 mengandungi butiran perbincangan berhubung pelantikan jawatan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara. Beliau memegang jawatan itu bermula 2003 hingga 2007.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video yang diedarkan kepada umum mulai 20 Mei 2008 mengesahkan rakaman video secara rahsia itu adalah tulen manakala isi kandungan perbualan antara Lingam dan Ahmad Fairuz adalah benar.
Suruhanjaya itu mencadangkan agar tindakan sewajarnya diambil terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Eusoff Chin, hartawan Tan Sri Vincent Tan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana salah laku.
Suruhanjaya itu dibentuk pada 12 Disember 2007 bagi menyiasat dan menentukan ketulenan serta kesahihan klip video memaparkan Lingam berbual melalui telefon dengan Ahmad Fairuz berhubung pelantikan hakim-hakim.
Thayalan berkata, Lingam pada mulanya dihadapkan kepada Jawatankuasa Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara berikutan aduan yang dibuat oleh Majlis Peguam pada 2007 berhubung rakaman video berkenaan.
Ujar Thayalan, Jawatankuasa Disiplin mendapatinya bersalah berhubung kandungan rakaman video yang mengaitkannya dengan skandal pelantikan hakim dan mencadangkan beliau didenda dan digantung daripada beramal.
Menurut Thayalan, keputusan Jawatankuasa Disiplin itu kemudian diterima oleh Lembaga Disiplin dan memintanya hadir memberi keterangan pada 8 Oktober lalu namun beliau gagal berbuat demikian kerana masalah kesihatan.
- Utusan Online

Post a Comment