KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya akan membuka sepenuhnya kesemua laluan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada pukul 2 petang esok.
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagaimanapun pihaknya akan membuka laluan di lebuh raya itu secara berperingkat-peringkat bermula petang ini.
Katanya, pembukaan peringkat pertama melibatkan satu lorong dua hala di Kilometer (KM)52.4 hingga KM50.0 bagi membolehkan pengguna dari pantai Timur menuju ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
“Kelewatan membuka kesemua lorong dua hala ini kerana pihak konsesi lebuh raya tersebut, Anih Berhad dalam proses membaik pulih permukaan jalan akibat banjir lumpur.
“Justeru, semua pengguna kenderaan yang akan melalui lebuh raya itu diminta supaya mematuhi papan tanda yang disediakan dan arahan daripada para petugas di tapak kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, Anih Berhad dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan sentiasa memantau lokasi kejadian setiap masa demi keselamatan pengguna.
Sementara itu di Bentong, Pahang, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Ismail Md. Salleh berkata, kerja-kerja pembersihan yang terjejas akibat kejadian lumpur telah selesai dijalankan di kedua-dua belah laluan berkenaan.
- Utusan Online
Post a Comment