Kediaman baharu bernilai RM50,000 sumbangan Breakthrough dan UPP
KUCHING: Sebuah keluarga kurang bernasib baik yang tinggal di rumah usang selama bertahun-tahun dengan pendapatan tidak dapat menampung keperluan harian, menerima sebuah rumah baharu semalam.
Breakthrough Network Centre Sdn Bhd, iaitu pertubuhan bukan kerajaan dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Batu Kawa bekerjasama membina rumah bagi Voon Joong Phiaw.
Voon, yang membuat kerja rencam serta isteri bergantung kepada anak sulung bagi menjana kebanyakan pendapatan keluarga untuk membiayai keperluan manakala dua lagi anak masih masih bersekolah.
Malangnya, warga emas itu bukan sahaja menghidap penyakit kulit namun dua lagi ahli keluarga mereka mempunyai masalah mental, membuatkan dia sukar bekerja dengan PRODUKTIF.
Rumah mereka di Lorong Stapok Utama 14 di Batu Kawa di sini dalam keadaan amat daif dengan lantai runtuh dan dapur terpisah dari rumah, menjadikan ia persekitaran tidak sihat dan tidak selamat didiami.
Hadir menyerahkan kunci rumah kepada Voon ialah Ketua Pegawai Operasi Breakthrough Alfred Phua dan Pengerusi UPP Batu Kawah Pemanca Liu Thian Leong.
Kediaman baharu dengan kos sebanyak RM50,000 itu berkeluasan 720 meter persegi mempunyai tiga bilik tidur, satu bilik mandi, tandas, ruang tamu dan dapur basah.
Menurut Phua, pasukannya turut mewujudkan kebun FAITH (makanan sentiasa ada di rumah) di belakang rumah bagi mengalak keluarga Voon menanam sayur-sayuran.
“Kebun FAITH merupakan sebahagian daripada usaha kita membanteras miskin bandar. Kita membantu mereka menubuhkan tempat penanaman, menyediakan benih dan tanah, bekalan baja percuma dan mengajar mereka asas.
“Kerja pertanian telah bermula dan kita berharap Voon sekeluarga dapat meneruskan dari situ untuk kelestarian hidup,” katanya.
Breakthrough meraih dana pembinaan rumah itu menerusi pelbagai penaja termasuk Gereja Methodist Zhu En yang menyewakan unit rumah pangsa dan membekalkan barangan keperluan seharian kepada keluarga tersebut dalam tempoh pembinaan rumah.
“Kita masih berhutang RM6,000 namun kita yakin kita dapat meraih jumlah itu daripada orang ramai dalam masa terdekat,” katanya.
Rumah itu katanya, merupakan projek kedua siap tahun ini selepas di Desa Wira.
“Objektif Breakthrough adalah untuk membantu golongan miskin, lemah dan terpinggir menerusi program penyayang, pertanian dan binaan,” katanya.
Sementara itu, Liu merakamkan penghargaan kepada Breakthrough atas usaha mereka, turut menyeru belia UPP dan orang ramai untuk terus membantu golongan miskin bandar.
“Masih ramai golongan memerlukan di Batu Kawa dan kita telah menerima pelbagai permintaan penduduk tempatan.
“Saya ingin menggesa generasi muda khasnya Pemuda UPP untuk menjadi lebih proaktif dan menjalankan lebih banyak kerja amal membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Memetik Albert Eintein, Liu mengingatkan ‘hanya kehidupan dijalani untuk orang lain adalah kehidupan yang bermakna’.
“Kehidupan kurang bermakna sekiranya kita hanya menjalaninya untuk diri sendiri kerana kita bukan dicipta untuk berbuat demikian. Kita boleh menjalani kehidupan lebih bermakna dengan membantu golongan susah dan memerlukan.
“Kita perlu bersama-sama membantu golongan kurang bernasib baik di kawasan kita dan di Kuching secara keseluruhan. Kuching menjadi tempat lebih baik dengan lebih banyak kasih sayang dan keprihatinan,” tambahnya.
Sumbangan Breakthrough katanya, merupakan contoh yang wajar diikuti oleh orang lain.
Bagaimanapun katanya, ia bukan untuk meraih kepentingan politik dan untuk memancing undi pada pilihan raya negeri akan datang.
“Kita berharap keluarga Voon dapat menjalani kehidupan lebih baik dengan adanya kediaman lebih selesa untuk didiami.
“Usaha antara UPP dan Breakthrough ini akan diteruskan,” katanya.
Program itu turut menyaksikan ahli Pemuda UPP membantu anak perempuan Voon kedua, yang kini di tingkatan tiga dan anak bongsu tingkatan satu untuk memohon Dana Pendidikan UPP.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.