Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata keadaan itu berlaku kerana kurangnya kesedaran dalam kalangan rakyat negeri ini tentang perlunya mendaftar awal sebagai pengundi.
“Jangan tunggu hingga saat-saat akhir baharu hendak mendaftar (sebagai pengundi). Sekarang sudah memasuki suku keempat pendaftaran.
“Kita tidak tahu bila Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan, yang pasti ia semakin hampir,” katanya sambil menambah, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tamat pada 19 Jun 2016.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sesi Taklimat dan Latihan Kepada Petugas Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Ke-11 di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah SPR Negeri Sarawak Datu Takun Sunggah dan pegawai-pegawai kanan SPR.
Menurut Abdul Aziz, sekiranya PRN diadakan April tahun depan kemungkinan daftar pengundi suku terakhir (Oktober-Disember) akan digunakan.
“Rakyat harus faham, kalau mendaftar (sebagai pengundi) pada saat-saat akhir, nama anda mungkin tidak tersenarai dalam senarai pengundi kerana untuk memproses dan mewartakan nama ia mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu bahawa dianggarkan kira-kira 24,000 daripada 1.1 juta pengundi berdaftar di Sarawak adalah pengundi awal iaitu anggota polis serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ditanya mengenai jumlah pengundi yang bakal mengundi di 11 kawasan DUN baharu, Abdul Aziz berkata secara purata ia melibatkan kira-kira 200,000 pengundi.
Cadangan 11 kerusi baharu itu ialah Batu Kitang, Stakan, Serumbu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.
Beliau berkata dengan penambahan kerusi baharu itu, Sarawak akan mempunyai 82 kawasan DUN pada PRU Ke-11 nanti berbanding hanya 71 sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai PRU berkenaan, Abdul Aziz berkata dianggarkan kira-kira 15,000 petugas SPR akan terlibat di seluruh Sarawak dan membabitkan peruntukan sekitar RM180 juta.
“Ketika ini SPR masih di peringkat merangka jenis logistik serta keperluan lain terutama jumlah helikopter yang akan digunakan nanti berdasarkan pengalaman pada PRN 2011 dan keperluan 11 kerusi baharu DUN,” jelasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment