Jangan tekan kami sampai ‘dinding’ – TPM

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada pembangkang agar tidak memburukkan nama negara di mata dunia, sekali gus mensabotaj segala usaha baik yang dilakukan kerajaan.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, masalah yang ditimbulkan pembangkang itu menyebabkan beliau terpaksa memberi penjelasan kepada banyak pemimpin negara luar mengenai keadaan sebenar negara ini.

Katanya, tindakan yang dilakukan pembangkang itu turut menyebabkan Setiausaha Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeh Johnson mendapat maklumat yang salah mengenai sistem perundangan negara terutamanya membabitkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Yang Berhormat tidak bertemu dengan tokoh-tokoh berkenaan, saya bertemu sendiri, saya menyatakannya dengan fakta tetapi jangan nafi kerajaan melakukan keadilan dan kesaksamaan, jangan tekan kami sampai (ke) dinding,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian bagi menjawab desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang me­nuntut pembebasan Anwar berdasarkan dakwaan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penahanan bekas ketua pembangkang itu dibuat secara semberono dan pertuduhan liwat bermotifkan politik untuk mengaibkannya.

Teguran yang sama diberikan oleh Ahmad Zahid terhadap Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) yang mempersoalkan kedudukan Malaysia dinaikkan dari Tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2015 Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) walaupun ada penemuan kubur besar mang­sa pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis tahun ini.

“Kita (kerajaan) bukan orang yang bertanggungjawab menggalakkan pendatang haram, kita selesaikan masalah kerana kita mahu jaga nama baik kita. Bila kita sudah beri komitmen tinggi, tidak payah puji tetapi tolonglah ada semangat kekitaan,” katanya.

Kata Ahmad Zahid, pembangkang juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga maruah negara di mata dunia sebagaimana kata pepatah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, sebanyak 179 individu ditahan sepanjang tempoh 2013 hingga 2 November tahun ini dise­babkan elemen keganasan dengan 136 daripadanya melibatkan elemen kumpulan militan Negara Islam (IS).

Beliau memberitahu, kajian dilakukan terhadap individu-individu yang ditahan mendapati hanya 13 peratus yang terbabit dalam aktiviti IS kerana faktor agama manakala bakinya terpengaruh kera­na perkongsian minat, mempunyai masalah keluarga dan kewangan.

Katanya, kerajaan serius untuk membanteras aktiviti keganasan dan ekstremis dengan kerjasama perkongsian maklumat telah dilakukan bersama dengan tujuh negara lain.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget