DAP desak Azmin iktiraf Pakatan Harapan dan Amanah di Selangor


DAP Selangor hari ini mendesak Menteri Besar Mohamed Azmin Ali supaya mengiktiraf kewujudan Pakatan Harapan dan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku Lau Weng San berpendapat, adalah tidak wajar sekiranya Azmin menafikan kewujudan Pakatan Harapan di Selangor kerana kerajaan negeri itu dipimpin PKR, DAP, Amanah dan PAS.

"PKR, DAP dan Amanah pula bergabung di bawah Pakatan Harapan. Sesuatu kerja tidak akan lancar kalau namanya tidak betul.

"Sebab itu, pengiktirafan sewajarnya harus diberikan kepada Pakatan Harapan dan Amanah," katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Lau juga menggesa Azmin perlu tegas menyatakan yang kerajaan Selangor kini bernama Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, pembentukan Pakatan Harapan di negeri itu tidak perlu dilakukan seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang kerana senario politik di kedua-dua negeri berkenaan adalah berbeza.

Dalam perkembangan berkaitan, Lau berkata, beliau tidak menghalang sekiranya PAS mahu berada dalam Pakatan Harapan dengan asalkan mereka ikhlas dan berjanji akan menentang kezaliman Umno habis-habisan.

"Juga, jika tidak ada antara mereka yang ingin menjadi penasihat kepada Umno, maka tiada masalah jika mereka mahu terus kekal dalam Pakatan Harapan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak merujuk secara terperinci kepada mana-mana pemimpin parti Islam tersebut.

"Kerajaan Pakatan Harapan Selangor harus bersifat terbuka sekiranya ada Adun PAS yang menyokong agenda perjuangan Pakatan Harapan dan tidak ingin bekerjasama dengan Umno," katanya.

Beliau menegaskan, secara prima facie, DAP yakin politik di Selangor stabil tetapi hanya boleh mengekalkan kuasanya sekiranya Pakatan Harapan diiktiraf dalam pentadbiran kerajaan. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget