Untuk kemudahan penduduk ketika kecemasan, jaringan komunikasi di situ agak lemah
Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Liwan Lagang berkata buat masa sekarang rata-rata kawasan pedalaman negeri ini terutama Belaga mempunyai jaringan dan khidmat komunikasi agak lemah sehingga menyukarkan penduduk.
“Saya berharap pihak berwajib mengambil langkah drastik mengatasi masalah kekurangan menara telekomunikasi ini bagi membolehkan jaringan komunikasi dan perhubungan lebih baik pada masa depan,” katanya pada program ‘Connecting the Unconnected’ di Uma Sambop, Sungai Semutut, Belaga semalam.
Sambil menyifatkan Belaga sebagai kawasan terpenting di wilayah tengah negeri ini berikutan terletaknya projek mega Empangan Bakun dan Empangan Murum, komunikasi dan perhubungan harus berada pada tahap baik dan lancar.
“Saya percaya jaringan komunikasi baik secara tidak langsung membantu tahap keselamatan khususnya di lokasi kedua-dua empangan terbabit memandangkan ia berdekatan sempadan Malaysia dan Kalimantan, Indonesia,” jelasnya.
Beliau juga berharap kemudahan telekomunikasi di kawasan terbabit dapat diperbaiki dari semasa ke semasa kerana kos penyediaan masih rendah.
Liwan memberi jaminan isu itu terus diutarakan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia sehingga memberi pertimbangan berhubung keperluan itu di Belaga.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Jamilah Shahid berkata program itu merupakan landasan terbaik merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dengan penduduk di kawasan pedalaman.
Jelasnya, program itu secara tidak langsung turut membantu meuar-uarkan berita terkini berkaitan polisi serta rancangan kerajaan buat rakyat di kawasan Belaga.
“Kerajaan bersama agensi serta jabatan berkaitan sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik khususnya jaringan komunikasi bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat maklumat,” katanya.
Liwan turut menyampaikan bantuan kepada 10 penerima terpilih daripada keluarga kurang mampu yang disalurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.