Ahli Bumiputera UPP Bawang Assan perlu bijak tangkis tuduhan palsu


SIBU: Ahli Bumiputera Parti Rakyat Bersatu (UPP) Bawang Assan perlu bijak menangkis tuduhan palsu dan tidak berfakta dilemparkan pembangkang ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Kewangan Kedua merangkap Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata ahli UPP perlu bersiap sedia menghadapi pelbagai cabaran dan tuduhan pembangkang pada PRN nanti.

“Daripada pengalaman semasa PRN lalu, pembangkang dari Semenanjung Malaysia mengambil kesempatan berkempen di Sarawak.

“Tetapi mereka kurang faham mengenai budaya kita. Mereka bersifat agresif dan tidak bersopan selain melemparkan tuduhan palsu dan tidak berasas.

“Kita mesti bijak mengekang tuduhan mereka dan perlu fasih mengenai polisi dan program transformasi kerajaan supaya kita dapat menerangkan program dan rancangan kerajaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Wong berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Sekolah Kebangsaan Tanjung Penasu malam kelmarin. Majlis dianjurkan oleh Komuniti Bestari 1Malaysia Tanjung Penasu/Batu Burak.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit, Pemanca James Semilan, pengerusi penganjur Penghulu Jeffery Sut serta yang lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu memberitahu, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem melaksanakan beberapa projek dan membaiki sistem pengurusan serta polisi yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

“Banyak pencapaian Adenan bertujuan meringankan beban rakyat seperti menghapuskan bayaran tol jambatan, menunjukkan kerajaan kini bervisi dinamik dan prihatin.

“Atas sebab itu, kita semua harus menyokong usaha Ketua Menteri kerana dalam masa lebih kurang 19 bulan dilantik sebagai Ketua Menteri beliau membuat dan melaksanakan 46 inisiatif menambah baik sistem perkhidmatan dan pengurusan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Dengan rekod begitu cemerlang kita mesti berusaha bersungguh-sungguh dan memberi mandat kuat kepada beliau pada PRN akan datang,” jelas Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget