KUALA LUMPUR – Moody’s Investor Service (Moody’s) menjelaskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak memberi risiko politik yang besar kepada Malaysia walaupun wujud pelbagai kontroversi berkaitannya.
Agensi penarafan itu juga menjangkakan Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir negara pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus menolak pandangan kononnya 1MDB akan menjerumuskan BN kepada kekalahan.
Menurut Moody’s, walau apa pun kontroversi yang melanda Malaysia, faktor yang mempengaruhi kekuatan BN ialah bagaimana seseorang Perdana Menteri itu berupaya memastikan kestabilan ekonomi negara.
“Walau apa pun yang berlaku di sebalik 1MDB, penilaian risiko politik domestik terhadap Malaysia sebenarnya sangat rendah, ini mencerminkan jangkaan bahawa BN akan terus kekal mentadbir kerajaan.
“Di Malaysia, cabaran politik belum membawa kepada peningkatan risiko fiskal meskipun kerajaan mengetatkan soal perbelanjaan,” jelas Moody’s seperti dipetik dari portal www.todayonline.com, hari ini.
Pada Mei lalu, agensi penarafan sama turut menjelaskan 1MDB tidak memberi sebarang risiko sistemik terutama ke atas institusi perbankan buat masa ini, walaupun wujud kebimbangan mengenai perkara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Moody’s meletakkan Malaysia pada penarafan A3 dalam aspek risiko politik dengan mengambil kira beberapa isu yang dipolitikkan pihak pembangkang bagi menyerang kerajaan.
Namun jelas agensi berkenaan, semua tekanan politik yang cuba dilemparkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan memberi kesan ketara selagi kerajaan komited dengan agenda pembangunannya.
- Utusan Malaysia

Post a Comment