SRI AMAN: Dr Johnical Rayong berharap tamatnya perbalahannya dengan Datuk Francis Harden Hollis dapat memanfaatkan Barisan Nasional (BN) di Bahagian Sri Aman.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin dekat, beliau menegaskan BN tidak mahu gangguan yang tidak diperlukan seperti drama perbalahan berlaku sebelum ini antara beliau dan Harden.
Menurut Rayong ketika menghadiri satu mesyuarat di pejabat residen Bahagian Sri Aman, beliau dan Harden dari awal lagi tidak sepatutnya berbalah kerana mereka ada kawasan masing-masing untuk dijaga.
“Kedua-dua kami adalah Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) BN dan kami datang dari keluarga politik sama. Apa yang kami mesti buat sekarang ialah memberi tumpuan kepada usaha untuk melakukan terbaik bagi BN,” tambahnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi BN Negeri terutamanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu kerana memahami situasi beliau dengan Harden dengan berusaha sedaya upaya meredakan keadaan.
Menurutnya, Adenan dan Jabu hanya mahu melihat setiap ADUN BN memberi tumpuan kepada kawasan masing-masing, iaitu Rayong di Engkilili manakala Harden di Simanggang.
“Sebagai ADUN BN, kita mesti mendengar kata nasihat kepimpinan tertinggi BN. Nasihat mereka mudah, jaga kawasan anda sendiri dengan baik dan jangan bergaduh dengan satu sama lain kerana kami kekal dalam keluarga BN,” kata Rayong.
Pada Selasa lepas, Rayong dan Harden menghadiri satu acara dianjurkan di sini di sebuah hotel tempatan, yang dirasmikan oleh Jabu bagi pihak Adenan.
Acara tersebut turut dihadiri lebih 500 ketua masyarakat tempatan, Jabu meminta kedua-dua ADUN berjabat tangan dan berdamai dengan satu sama lain di hadapan hadirin.
Rayong dan Harden, juga Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, dahulu menganggotai parti yang sama, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sebuah parti komponen BN Negeri.
Persahabatan mereka menjadi renggang selepas Rayong meninggalkan SUPP tahun lepas untuk menyertai Parti Rakyat Bersatu (UPP) baharu ditubuh manakala Harden membuat keputusan terus kekal bersama SUPP.
UPP mesra BN ditubuhkan oleh bekas ahli SUPP pada tahun lepas susulan kepada krisis dalaman SUPP.
Sementara penyandang kerusi dalam UPP, termasuk Rayong, mendakwa kerusi mereka adalah milik UPP manakala SUPP menegaskan UPP bukan sebahagian daripada BN.
Harden menganggap kerusi Engkilili diduduki Rayong sebagai milik SUPP dan sering mengulangi isu berkenaan dalam usaha memperkenalkan personaliti SUPP sebagai calon BN di kawasan tersebut dalam PRN akan datang.
Dan, tindakan itu ternyata menimbulkan kemarahan Rayong.
Rayong sebaliknya menegaskan beliau adalah calon BN bagi Engkilili, dan selepas Jabu menyatakan beliau adalah “sebahagian daripada BN” secara terbuka beberapa kali, kemungkinan besar kerusi itu akan dipertahan Rayong untuk BN dalam PRN nanti.
Perbalahan antara kedua-dua ADUN itu dilaporkan dengan meluas oleh media.
Dalam kemuncak perbalahan, Rayong berulang kali meminta Harden menjaga kawasan sendiri manakala Harden pula menegaskan beliau kerap melakukan lawatan ke Engkilili kerana tugasnya selaku Menteri Muda.
Dengan perkembangan terbaharu, BN seterusnya dijangka memberi tumpuan kepada kempen untuk PRN akan datang di Bahagian Sri Aman tanpa sebarang gangguan drama antara dua bekas rakan karib yang sudah berdamai ini.
- Borneo Post Online
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.