Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata sesuatu merugikan jika sekiranya budaya dan tradisi sepatutnya kita jaga hilang dan kita harus menyalahkan diri sendiri atas kehilangan itu.
Katanya, dengan ledakan dunia teknologi maklumat (IT) masa kini menjadikan budaya sepatutnya dipertahankan kian terhakis seiring perkembangan dunia.
“Sejak zaman-berzaman kita mewarisi pelbagai budaya dan tradisi namun kini hanya sebahagian tinggal manakala selebihnya hilang begitu sahaja.
“Ketika ini hanya beberapa tradisi seperti ngajat, berpantun, ‘betabuh,’ menenun ‘pua kumbu’ dan mengukir tatu masih kekal manakala budaya seperti ‘batak lampung,’ ‘besanga’i malah adat ‘melah pinang,’ ‘nimang,’ ‘bebiau’ dan sebagainya hanya tinggal kenangan,” katanya pada Program Membara Citra Seni Budaya JASA Bahagian Sri Aman bagi Parlimen Lubok Antu di Rumah Chaong Baringai, Skim Skrang di sini semalam.
Dr Rayong berkata, jika bangsa lain bangga dengan tradisi mereka, mengapa tidak tradisi kita kerana ia sebenarnya satu produk pelancongan boleh dijadikan sumber pendapatan jika kena cara pemasarannya.
Beliau mahu pihak berkepentingan seperti Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) dan Yayasan Tun Jugah mencari alternatif menghidupkan budaya lama tersebut agar terus bernafas.
“Generasi muda kini harus didedah dengan main asal tersebut agar mereka tahu asal usul diri dan mereka tahu mereka juga kaya budaya,” katanya.
Beliau menekankan kerajaan kini diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menitikberatkan pembangunan luar bandar.
Di Skim Skrang, pihaknya merancang pelbagai pembangunan untuk dinikmati kerana terus komited berdiri bersama beliau dan Barisan Nasional (BN).
“Setakat ini, BN menerusi saya sudah memperuntukkan RM400 juta pelbagai projek meningkatkan kemudahan infrastruktur di skim ini dan menambah RM500 juta tahun hadapan,” katanya.
“Semua ini adalah nikmat pembangunan daripada kerajaan justeru sentiasalah bersama saya dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana lebih banyak pembangunan menyusur,” tambahnya.
Beliau menggesa ibu bapa agar memohon biasiswa ditawarkan Parti Rakyat Bersatu (UPP) terbuka kepada semua dengan dana awal RM50 juta selain Tabung Yayasan 1Engkilili milik beliau meringankan beban persekolahan anak-anak mereka.
“Kemajuan pendidikan terutama di DUN Engkilili antara aspek diberi perhatian kerana saya sedar hanya menerusi pendidikan dapat mengubah masa depan kita,” jelasnya.
Hadir sama Pegawai JASA Lubok Antu/Sri Aman Geoffery Maba Ricky Maja, wakil Jabatan Tanah dan Survei Awang Hipni, para penghulu, kaunselor dan tuai rumah.
Dr Rayong turut mengumumkan pemberian geran MRP bernilai RM7,000 kepada Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) manakala Persatuan Wanita mendapat RM5,000 sebagai dana aktiviti mereka.-Utusan Borneo
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.