'Tak patut Guan Eng saja dapat diskaun rumah'


Lim Guan Eng perlu berusaha memberikan diskaun perumahan kepada semua rakyat Pulau Pinang kerana harta tanah di negeri itu terlalu mahal, kata Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Disebabkan Lim menikmati potongan harga ketika membeli sebuah banglo untuk dirinya, kata Mah, keistimewaan itu tidak wajar dihadkan kepada ketua menteri Pulau Pinang itu saja.

"Ya, Lim mendapat diskaut tapi jika dia benar-benar berjuang untu rakyat, Lim tidak akan membiarkan potongan harga itu untuk dirinya saja. Dia akan cari jalan supaya semua orang mendapat potongan harga," katanya.

Kenyataan Mah di persidangan tahunan Gerakan di Kuala Lumpur itu kemudian disambut tepukan gemuruh delegasi parti berkenaan.

Kenyataan Mah itu merujuk kepada hujah Lim berkaitan pembelian seunit banglo didakwa diperolehi lebih rendah daripada harga pasaran.

Transaksi itu juga menyebabkan setiausaha agung DAP berkenaan didakwa atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Lim bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Sementara itu di sidang media kemudian Mah berkata semua calon yang terpilih untuk mewakili Gerakan dalam pilihan raya akan menjalani saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM mungkin tahu sesuatu yang kami tidak tahu. Jika SPRM memberi kelulusan kami akan serahkan nama mereka kepada perdana menteri," katanya.

Ditanya jika parti lain dalam BN akan mengikut langkah Gerakan, Mah berkata, ia terserah kepada pihak yang berkenaan.

Sebelum itu Mah mengumumkan lima calon pilihan Gerakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di Selangor.

Mereka ialah Pengerusi Gerakan Selangor Datuk David Ang Chin Tat yang akan diletakkan di kerusi parlimen Puchong, Naib Presiden Gerakan Datuk A Kohilan Pillay (kerusi DUN Alam Shah), timbalan speaker Syed Abdul Razak Syed Long (DUN Bukit Lanjan) Ketua Organisasi Pemuda Gerakan Ben Liew Pok Boon (DUN Teratai) dan Ketua Biro Perundangan Pemuda Chai Ko Thing (DUN Bukit Gasing).

Mah yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata kelima-lima mereka sedang disaring oleh SPRM.

Katanya nama calon terbabit diumum hari ini bagi membolehkan pengundi mengenali mereka lebih awal sebelum kempen bermula.

Pilihan raya umum ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya 2018 tetapi beberapa pihak menjangkakan ia akan dibuat seawal Mac tahun depan. - malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget