KUALA LUMPUR: Sarawak tidak mahu terus dianggap sebagai koloni kerajaan persekutuan kerana turut menyumbang dalam pembentukan Malaysia.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, Malaysia tidak akan wujud sekiranya Sarawak menolak pada tahun 1963.
Malah menurutnya, banyak kuasa yang diberi kepada Sarawak terhakis kerana tiada pemimpin yang menyuarakan perkara tersebut.
"Saya tidak mahu melihat Sarawak dianggap koloni Kuala Lumpur.
"Oleh itu, sejak menjadi Ketua Menteri saya membangkitkan kuasa yang dimiliki Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Santai Ngan Tok Nan Sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Adenan menjelaskan, beliau turut menuntut autonomi Sarawak dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak positif terhadap permintaan Sarawak.
"Perdana Menteri setuju kuasa autonomi dikembalikan kepada kita," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, menurutnya, keutamaan sentiasa diberikan kepada pembangunan luar bandar yang jauh ketinggalan.
"Sekarang kalau nak cari orang miskin pergi luar bandar dan cari orang kaya pergi bandar.
"Keadaan ini menyebabkan kita giat membangunkan luar bandar Sarawak," jelasnya.
Sektor perindustrian juga kata Adenan perlu terus dimajukan bukan sahaja meningkatkan ekonomi negeri tetapi menyediakan tenaga kerja.
"Kita boleh lihat Bintulu sekarang jadi tumpuan perindustrian kerana tarif elektrik murah.
"Secara tidak langsung lebih banyak pelabur asing menanam modal di Sarawak dan menyediakan peluang pekerjaan," kata Adenan.-Sarawakiana
Post a Comment
Click to see the code!
To insert emoticon you must added at least one space before the code.