Kakitangan awam Australia letak jawatan lepas insiden seluar dalam


PETALING JAYA: Salah seorang daripada 9 lelaki warga Australia yang ditahan kerana memakai seluar dalam Jalur Gemilang, Jack Walker meletak jawatan.

Walker yang didakwa di mahkamah Malaysia atas kesalahan itu merupakan penasihat kanan di pejabat Menteri Pertahanan Australia, Christopher Pyne dan menyerahkan notis berhenti kerjanya sebaik saja selepas kembali ke Australia semalam.

Memetik laporan ABC News Australia, Pyne berkata Walker menyampaikan permohonan maaf dan rasa kesal atas perbuatannya yang memalukan kerajaan negara itu.

Pyne juga mengakui Walker seorang kakitangan kerajaan yang cemerlang dan banyak menyumbang dalam pejabatnya sejak lewat 2013.

“Saya percaya Walker mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Digelar sebagai ‘Budgie 9’, mereka ialah Timothy Yates, Tom Whitworth, Tom Laslett, Nick Kelly, Edward Leaney, Branden Stobbs, James Paver, Adam Pasfield dan Walker didakwa atas kesalahan menyebabkan kacau ganggu awam di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan.

Mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan dilepaskan selepas diberi amaran oleh Mahkamah Sesyen Sepang.

Dalam kejadian pada Ahad minggu lalu, 9 rakyat Australia itu menanggalkan pakaian dan hanya berseluar dalam bercetak bendera kebangsaan Malaysia untuk meraikan kemenangan rakan senegara mereka, Daniel Ricciardo di Formula One Grand Prix Malaysia di Sepang.

Seorang jurucakap berkata, mereka memohon maaf atas perbuatan itu di mahkamah dengan mengaku tidak berniat mencemar nama negara dan tidak sedar sensitiviti budaya tempatan. - FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget