Tiga daripada enam ADUN Bidayuh dikekalkan

Mereka yang kekal adalah Manyin, Sagah, Martin Ben, kesemuanya daripada PBB, kata Adenan
ULANG TAHUN: Adenan (dua kanan) menunjukkan aksi lawak sebelum memotong kek Ulang Tahun Ke-60 DBNA. Turut kelihatan Manyin (kanan) serta yang lain.

KUCHING: Tiga daripada enam penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari kalangan kaum Bidayuh akan dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika mengumumkan perkara ini berkata mereka yang kekal adalah Dato Sri Michael Manyin Jawong, Datuk Roland Sagah dan Martin Ben.

Ketiga-tiga mereka adalah daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi N.18 Tebedu, N.17 Tarat dan N.19 Kedup.

“Berhubung dengan PBB, saya boleh mengesahkan bahawa semua penyandang Bidayuh dalam PBB iaitu Manyin, Sagah dan Martin adalah calon anda pada PRN nanti.

“Yang lain, Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Dr Jerip Susil saya akan komen nanti bergantung kepada prestasi mereka dalam tempoh enam bulan ini.

“Jadi, bersedialah kerana anda mungkin atau tidak mungkin dikekalkan pada PRN nanti,” ujar Adenan yang juga presiden PBB pada Jamuan Malam Ulang Tahun Ke-60 Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) kelmarin.

Seorang lagi wakil rakyat Bidayuh iaitu Ranum Mina yang merupakan ADUN N.1 Opar bagaimanapun tidak disebut oleh Adenan pada majlis itu.

Nansian dan Dr Jerip masing-masing adalah ADUN bagi N.2 Tasik Biru dan N.16 Bengoh dan merupakan Timbalan Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Kerusi N.1 Opar dan N.16 Bengoh yang disandang oleh Ranum dan Dr Jerip ketika ini dimenangi oleh mereka atas tiket Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada PRN 2011 sebelum keluar dan menyertai UPP.

Manakala kerusi N.2 Tasik Biru yang disandang oleh Nansian dimenangi oleh beliau atas tiket Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum keluar parti dan membentuk TERAS bersama beberapa bekas pemimpin SPDP yang lain.

Terdahulu dalam ucapan sempena majlis itu, Adenan mengakui cemburu dengan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat Bidayuh di negeri ini dalam pelbagai bidang sama ada ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan sebagainya.

Katanya, meskipun masyarakat Bidayuh merupakan kaum minoriti namun peratusan graduan yang berjaya dilahirkan daripada kalangan kaum berkenaan adalah antara yang tertinggi di negeri ini dan negara amnya.

Sempena majlis yang berlangsung di Dewan DBNA di sini kelmarin, Adenan turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada DBNA bagi tujuan pembangunan masyarakat Bidayuh.

Selesai upacara memotong kek ulang tahun, Adenan turut menyampaikan anugerah khas kepada bekas-bekas presiden DBNA dari tahun 1955 hingga kini.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik, pemimpin-pemimpin Bidayuh, ahli-ahli DBNA serta lain-lain.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget