Peralatan, fasiliti klinik kesihatan di luar bandar wajar dinaik taraf


SIMUNJAN: Peralatan dan fasiliti di klinik kesihatan di kawasan luar bandar seharusnya dinaik taraf sejajar inisiatif kerajaan membangun kawasan luar bandar.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Julaihi Narawi berkata usaha menyedia peralatan dan fasiliti lebih baik di klinik kesihatan luar bandar akan memboleh penduduk menikmati perkhidmatan penjagaan kesihatan termasuk rawatan setanding bandar.

Sebagai contoh katanya peralatan dan bangunan Klinik Kesihatan Sebangan dan Sebuyau perlu dinaik taraf.

“Sejajar dasar ‘Go Rural’ diperkenal kerajaan, adalah sangat perlu klinik kesihatan luar bandar dinaik taraf dan dilengkapi peralatan serta fasiliti supaya penduduk luar bandar menikmati perkhidmatan setanding penduduk di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarakan Kem ‘I Want Sihat’ dan COMBI (Communication For Behaviour Impact) di Kampung Sungai Ladong, di sini semalam.

Julaihi juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Promosi dan Pelaburan) berharap kerajaan pusat memperuntuk lebih banyak dana kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menaik taraf klinik kesihatan luar bandar.

Beliau berharap JKN akan membawa pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melawat klinik berkenaan supaya dapat melihat situasi sebenar di situ.

Julaihi turut menggesa lepasan sekolah di kawasan luar bandar mengambil jurusan atau latihan perubatan dan pada masa sama mahu KKM meningkat jumlah pengambilan mengikuti program berkenaan dalam kalangan penduduk luar bandar.

“Mereka sanggup berkhidmat di luar bandar dan atas alasan itu kementerian harus menambah jumlah pengambilan calon dari luar bandar,” tegasnya.

Sementara itu, Julaihi menggesa pihak berkuasa tempatan di kawasan itu supaya segera meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kebersihan serta penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat terutama mengenai denggi.

Beliau percaya program COMBI inisiatif positif menangani kes denggi dan menggesa penduduk kampung mengambil inisiatif membersih pekarangan rumah masing.

Pada majlis sama Julaihi melulus RM10,000 untuk kampung berkenaan menganjurkan pelbagai aktiviti di bawah program COMBI merangkumi gotong-royong yang dijadikan aktiviti rutin untuk memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Samarahan Dr Nur Fatihah Oh Abdullah, Pegawai Kesihatan Simunjan Dr Prashanth Nambiar, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sebuyau Ajis Ahmad dan Ketua Kaum, Jarawi Yahya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget