Petronas diyakini terus melabur dalam pendidikan

Tambah bilangan anak-anak dari luar bandar S’wak untuk dilatih dalam program INSTEP: Jabu

KUCHING: Petronas diyakini akan terus melabur dalam pendidikan dan pembangunan modal insan untuk meningkatkan jumlah tenaga mahir dan berpendidikan di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, organisasi itu menerusi Institut Teknologi Petronas (INSTEP) bagaimanapun diseru memperkasakan bilangan anak-anak dari luar bandar untuk dilatih dalam program tersebut.

“Teruskan melatih lebih ramai anak Sarawak, kalau boleh tambah bilangan anak-anak dari kawasan luar bandar untuk dilatih (di bawah INSTEP).

“Kawasan luar bandar mempunyai potensi amat besar yang mampu menyediakan sumber lepasan sekolah yang boleh dilatih di bawah program berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi INSTEP Ke-17 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Kumpulan Pengurusan Sumber Manusia Petronas Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Naib Presiden Kanan Huluan Petronas Malaysia Datuk Anuar Taib.

Jabu turut melahirkan harapan agar hubungan baik antara kerajaan negeri dan Petronas dapat diteruskan dari semasa ke semasa.

Petronas, katanya, telah bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam melaksanakan program yang menfokuskan bidang pendidikan, kemahiran teknikal selain memantapkan kebolehkerjaan para graduan.

“Pengetahuan yang anda perolehi daripada INSTEP akan menyediakan anda untuk memasuki alam pekerjaan selain meningkatkan kemahiran secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Raiha yang juga Pengerusi Lembaga Petronas Technical Training Sdn Bhd (PTTSB) berkata, cabaran bagi industri minyak dan gas khususnya apabila harga minyak dunia menjunam baru-baru ini tidak akan menghalang organisasi itu untuk meneruskan usaha membina keupayaan bagi mengekalkan tenaga kerja mahir mencukupi serta kompeten dalam sektor petroleum di negara ini, khasnya di Sarawak.

Menurut beliau, Petronas telah menggariskan satu pelan sistematik dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia sebagai Hab Pembelajaran dan Pendidikan Minyak dan Gas terkemuka di rantau ini

“Oleh itu, Petronas meletakkan fokus utama di INSTEP sebagai salah satu institusi yang dibangun untuk menghasilkan tenaga kerja mahir dalam bidang minyak dan gas di negara ini,” katanya.

INSTEP, yang diwujudkan 34 tahun lalu telah melalui perkembangan pesat apabila dianugerahkan akreditasi antarabangsa oleh Majlis Pendidikan Teknologi dan

Perniagaan (BTEC) pada 2014 dan Organisasi Latihan Industri Petrolium Pesisir Pantai (OPITO) pada 2015, kedua-duanya merupakan badan-badan pemberi anugerah terbesar di United Kingdom.

“Akreditasi-akreditasi ini memudahkan para graduan dipasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya sambil menambah, INSTEP turut menerima pengiktirafan OPITO sebagai Pusat Kelayakan Teknikal Minyak dan Gas.

Pengiktirafan itu, katanya, menjadikan pekerja dalam sektor minyak dan gas dalam negara menerima kelayakan dan latihan bertaraf dunia daripada INSTEP.

“Saya percaya dengan pengiktirafan tersebut, INSTEP akan muncul sebagai pusat pembelajaran dan pendidikan minyak dan gas yang perdana di rantau ini,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget